“Kalau Anak Jantan, Lawan Pasukan Johor” – Tuanku

SEMUA maklum aksi kecemerlangan pasukan polo negara yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sendiri dalam kancah Sukan SEA ke-29 pada ketika ini.

Selepas berjaya membenamkan skuad Brunei 12-4 yang diketuai anakanda Sultan Hassanal Bolkiah, Putera Mateen pada Selasa lalu, Malaysia meneruskan rentak kejayaan dengan menewaskan Singapura 13-2 pada Khamis.

Namun ada juga tidak begitu gembira dengan berita ceria itu termasuk cakap-cakap tidak manis yang mendakwa konon perlawanan tersebut amat berat sebelah dan pihak lawan seolah-olah terpaksa berlakon mengalah pula.

Apa tidaknya langsung tiada saingan sengit dengan jurang mata yang dikutip amat besar. Paling ‘murka’ dengan persembahan luar biasa pasukan Malaysia itu ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri.

Baginda yang diketahui ramai sebagai bekas pemain polo sejak zaman remaja dan pernah mewakili team negara termasuk dalam Piala Dunia ternyata kurang berpuas hati dengan persembahan skuad Malaysia dalam temasya itu.

Menerusi catatan dalam akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers yang dimuat naik kira-kira pukul 1.45 petang tadi, Sultan Ibrahim meluahkan dukacita dan ‘kemurkaan’ dengan team diketuai Khairy atau mesra disapa KJ itu.

Status bertajuk ‘Kalau Anak Jantan, Lawan Dengan Pasukan Johor’ itu menarik perhatian sehingga menerima lebih 15,000 tanda suka selain hampir 3,000 kongsi dan kira-kira 3,000 komen setakat dua jam selepas disiarkan.

Baginda malahan mencabar pasukan berkenaan untuk ‘melawan’ skuad polo Johor dan Sultan Ibrahim sendiri sedia turun padang menjadi pemain jika perlu bagi membuktikan team Malaysia tidaklah sehebat mana pun.

Berikut ialah kenyataan penuh dipetik daripada laman Johor Southern Tigers:

KALAU ANAK JANTAN, LAWAN DENGAN PASUKAN JOHOR

Pasukan yang bertanding untuk sukan polo di Temasya Sukan SEA 2017 ini ibarat hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja. Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan.

Saya cabar pasukan polo Sukan SEA supaya datang ke negeri Johor dan tunjukkan taring mereka yang saya dengar handal sangat. Hari ini lawan Singapura.

Bila pasukan sudah menang baru masuk bermain dan suruh budak yang sedang ‘perform’ berpura-pura mengalami kecederaan.

Jadi ada gambar beliau dapat masuk dalam pasukan untuk dipaparkan dalam media cetak dan melakukan propaganda menipu orang ramai seolah-olah dia yang menang dan handal.

Saya menjemput Menteri Belia dan Sukan untuk datang dan tidak menghampakan kehendak rakyat untuk melihat pasukan anda mengalahkan pasukan Johor.

Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor. Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi.

Kalau pasukan saya kalah, saya akan mengakui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka.

Polo di Johor sudah bermula sejak tahun 1884, bukannya semalam baru beranak. Semasa saya menjadi Tunku Mahkota, saya sudah bermain di serata dunia termasuk Piala Dunia untuk sukan tersebut.

Kalau hendak dibandingkan dengan Sukan SEA, ia bukan tandingannya. Jikalau anda mahukan perlawanan yang lebih serius, datang ke negeri Johor.

Saya mempersilakan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut sama hadir menyaksikan serta menikmati perlawanan antara pasukan Sukan SEA dan pasukan Johor.

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar,
Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Loading...