KUALA LUMPUR – Gaji dan elaun pengurusan tertinggi dan anggota lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah ditetapkan pada kadar yang munasabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara tersebut telah dipersetujui kerajaan dengan prinsip utama iaitu tiada lagi pembayaran gaji yang melampau dalam institusi kerajaan.

“Kita juga bersetuju bahawa tiada lagi mereka dalam kalangan ahli politik menerajui GLC kita seperti dulu.

“Jumlah elaun atau gaji yang dibayar juga telah ditetapkan pada satu jumlah yang munasabah dan berpatutan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam yang mendedahkan jumlah keseluruhan pendapatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Lim berkata dari Januari 2011 sehingga Jun 2018, Mohd Irwan menerima pendapatan sebanyak RM2.94 juta.

Sehingga Jun 2018, Mohd Irwan juga telah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif/Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif/Pengarah dalam 23 buah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). – BERNAMA

Loading...