Juruteknik Ditipu RM28,510, Kempunan Bercuti Di Itali

KUANTAN – Hasrat seorang juruteknik untuk melancong ke Rome, Itali tidak kesampaian selepas dia dipercayai diperdayakan pemilik syarikat pelancongan yang dikenalinya sejak dua tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa kerugian RM28,510 yang dijelaskan untuk membeli tiga tiket penerbangan kelas perniagaan bagi tujuan itu. 

“Mangsa membuat bayaran itu pada 26 Jun lepas kerana percaya kepada suspek memandangkan dia kerap menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi urusan pelancongan.

“Bagaimanapun, untuk kali ini, mangsa terkejut apabila isterinya yang cuba menyemak tempahan tiket itu di laman web syarikat penerbangan mendapati tiada tempahan atas nama mereka dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd. Wazir menambah, mangsa cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada suspek, yang berkeras menyatakan tempahan itu telah dilakukan walaupun gagal menunjukkan dokumen bagi menyokong perkara itu.

Sehubungan itu, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.