Jumlah Korban Covid-19 Kini 17 Orang

PENULARAN kes jangkitan Covid-19 di Malaysia mengorbankan seorang lagi mangsa menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini adalah 17 orang.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Menurutnya, kes kematian ke-17 adalah kes positif ke-1,251 iaitu membabitkan warganegara Malaysia berusia 60 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan.

“Beliau mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac 2020,” katanya menerusi laman Facebook (FB).

Dr. Noor Hisham berkata, keadaan beliau kritikal ketika tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 4.10 pagi 25 Mac 2020.

“Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya. – myMetro Online

Loading...