Jangan Samakan PKPB Dengan Negara Lain

39

KUALA LUMPUR – “Masih ramai yang dirawat. Tidak mustahil wabak boleh berjangkit semula.

“Kalau gelombang ketiga dan terpaksa dikenakan perintah berkurung (lockdown) mana lebih rugi? Sama je…baik betul-betul putuskan rantaian daripada ‘lockdown’ lebih lama dan rugi berganda-ganda.

“Kita cuma tunggu dua minggu sahaja lagi, sikit sahaja lagi..tapi sedih awal pulak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilonggarkan.”

Itu antara komen netizen yang membanjiri laman sosial Facebook rasmi milik Kementerian Kesihatan (KKM), sejurus selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai esok.

Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516

Nada yang sama tular di beberapa ruangan komen rangkaian media sosial lain termasuk Twitter. Mereka minta kerajaan menimbangkan semula keputusan pelaksanaan PKPB yang pada anggapan mereka sebagai “tidak wajar dan terburu-buru”.

Sehingga ada yang menyifatkan sia-sia sahajalah pengorbanan mereka sepanjang PKP fasa satu bermula 18 Mac lalu disusuli PKP fasa dua, fasa tiga dan fasa 4 dengan berkurung di rumah. Kerisauan mereka lebih kepada kemungkinan kes pesakit COVID-19 melonjak semula!

Bagi mengukuhkan alasan kebimbangan itu, ada yang memberi contoh apa yang berlaku di negara yang sebelum ini menghentikan perintah berkurung terlalu awal seperti Jepun sehingga menyebabkan COVID-19 kembali mengganas dan darurat kecemasan diisytiharkan.

Mereka bimbang situasi yang sama melanda negara ini.

“Orang Pulau Hokkaido di Jepun sudah menyesal. Harap di sini tiada sesalan walaupun diarah PKPB,” antara komen netizen di laman media sosial yang merujuk kepada berita “Padah henti perintah berkurung terlalu awal, COVID-19 kembali mengganas”.

Berita yang disiarkan pada 30 April lau, merujuk kepada Hokkaido, Jepun yang dilanda gelombang kedua penularan COVID-19 selepas perintah berkurung tiga minggu ditamatkan pada 19 Mac lalu, apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka.

Bagi segelintir netizen yang menggunakan ‘modal’ ini untuk mengukuhkan ketidakwajaran pelaksanaan PKPB, mereka berharap kerajaan tidak mementingkan kesinambungan ekonomi pada masa singkat sahaja tetapi perlu meliputi jangka masa panjang.

Itu pandangan mereka. Akan tetapi, bolehkah mereka menjadikan apa yang berlaku di Hokkaido sebagai rujuk modal untuk mengukuhkan alasan kebimbangan tersebut?

Mengulas keadaan ini, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berpandangan, rakyat Malaysia sepatutnya tidak membandingkan situasi di negara ini dengan apa yang berlaku di Hokkaido.

“PKPB kita adalah jauh berbeza berbanding negara lain yang melonggarkan ‘lockdown’ ala mereka. Di Hokkaido, umpamanya perintah berkurung mereka hanya tiga minggu dan dilonggarkan apabila jumlah jangkitan menjadi satu angka.

“Tetapi masalahnya ialah kelonggaran diberi secara ‘total’ iaitu penduduk pulau itu tidak mengamalkan perintah berkurung secara kendiri iaitu mengambil tanggungjawab elak virus.

“Disebabkan itu, Hokkaido buat ‘lockdown’ sekali lagi kerana jangkitan meningkat mendadak. Masalahnya ‘lockdown’ Hokkaido hanya membabitkan wilayah tersebut sahaja kerana wilayah lain di Jepun tiada ‘lockdown’. Manakala, di Malaysia, PKP adalah menyeluruh,” katanya memberitahu Bernama menerusi e-mel.

Azmi juga mengambil contoh situasi Kanada di mana perintah berkurung di negara itu juga tidak seketat PKP di Malaysia. Apabila perintah berkurung dilongggarkan, rakyat Kanada mengambil mudah dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kita ambil contoh Singapura yang mengenakan ‘lockdown’ secara sukarela. Rakyat mereka walaupun dianggap berdisplin juga ambil mudah sehingga dikenakan ‘lockdown’ paksa apabila jumlah jangkitan cecah angka menggerunkan. Moralnya situasi ‘lockdown’ ala Malaysia berbeza dengan Jepun, Kanada dan Singapura,” jelasnya.


Malah, hal itu juga dijelaskan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam, bahawa tindakan kerajaan Jepun membenarkan kemasukan warga asing ke negara itu selepas perintah berkurung ditarik semula, menyebabkan berlakunya gelombang baharu penularan COVID-19.

“Di Hokkaido, mereka buka negara mereka dan biarkan kemasukan negara luar (pelancong luar). Pada masa itu musim bunga sakura, berlaku kes import, tetapi kita masih tutup pintu masuk negara kita (kepada pelancong asing), jadi ini antara langkah persediaan kita,” katanya.

Sebenarnya, perkara inilah yang masyarakat Malaysia perlu fahami.

Berdasarkan pemantauan laman media sosial, memang ada juga netizen yang memahami jelas maksud Perdana Menteri sehingga menyatakan masyarakat perlu membaca sebaik-baiknya apa yang dimaksudkan PKPB itu.

PKPB bukanlah bermaksud ‘tiket kelonggaran’ untuk orang ramai bergerak bebas, seperti dahulu. Malahan PKP fasa keempat yang dijadualkan tamat pada 12 Mei masih lagi berkuatkuasa dan masyarakat perlu jelas mengenai perkara ini.

Kelonggaran PKPB hanya diberikan kepada sektor perkhidmatan yang dibenarkan dengan perlu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat atas nasihat KKM berdasarkan data yang dikumpul serta amalan terbaik ditentukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Manakala perniagaan, industri atau aktiviti sukan, keagamaan yang membabitkan perhimpuan ramai dan sentuhan badan yang menyukarkan penjarakan sosial, seperti bazar Ramadan, karnival jualan selain perjalanan rentas sempadan negeri masih tidak dibenarkan.

Malah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang ingkar PKP walaupun bermula esok, hampir semua aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi.

Ini masyarakat perlu hadam dengan sebaiknya. PKPB bukan “lampu hijau” untuk orang ramai pergi berseronok membeli-belah atau beriadah bersama keluarga seperti sebelumnya.

Sebenarnya bukan mudah untuk industri beroperasi dengan normal baharu yang menetapkan pelbagai SOP ketat.

KKM sebelum ini menggariskan SOP termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19 dan keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan Orang Kelainan Upaya.

Mana-mana premis perniagaan atau kilang yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan KKM ketika beroperasi dalam tempoh PKPB akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penutupan premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata jika terdapat kes aktif COVID-19 dikesan di premis atau kawasan berkenaan, arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan.

Justeru, janganlah khuatir kerana segala tindakan kerajaan pastinya melalui perbincangan mendalam bersama KKM dan kementerian berkaitan yang bertujuan utama bukan sahaja mencari jalan mengimbangi keperluan untuk membendung wabak COVID-19 bahkan juga memulihkan ekonomi negara.

Apa sekali pun, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Kita tidak boleh bersandarkan kepada usaha kerajaan dan terus mengharapkan sifar virus COVID-19.

Sudah tiba masanya kita amalkan normal baharu kehidupan, antaranya mematuhi penjarakan sosial, tidak bersalam dan kerap mencuci tangan untuk mengekang penularan COVID-19.