Isytihar Sokongan PM Bakal Undang Perpecahan PH, UMNO

SHAH ALAM – Langkah pengisytiharan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui usul percaya di Dewan Rakyat mungkin mengundang perpecahan tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, pihaknya bersetuju dengan beberapa pandangan bahawa pemimpin-pemimpin yang bersuara mendesak Dr. Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri segera kepada Anwar hanyalah pemimpin peringkat bawahan sahaja.

Sebaliknya, Kamarul Zaman mengakui terdapat kecenderungan pemimpin-pemimpin menggalas jawatan Kabinet dalam PH terdiri DAP, Amanah dan PKR untuk mempertahankan status quo, sekaligus menolak cadangan peralihan kuasa Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya ada sebab kukuh untuk percaya terdapat pemimpin Amanah tidak menyokong peralihan kuasa Perdana Menteri dalam masa terdekat kepada Anwar secara kukuh.

“Begitu juga perpecahan akan berlaku dalam DAP dan UMNO selain PKR yang secara terang-terangan berdepan masalah dalaman ketika ini sekiranya langkah pengisytiharan sokongan Dr. Mahathir atau Anwar dibuat di Dewan Rakyat.

“Saya menjangkakan UMNO juga mungkin berpecah disebabkan ada ura-ura menyatakan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memberi undi tidak percaya kepada Dr. Mahathir sekiranya usul percaya diluluskan Speaker Dewan Rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sekiranya usul dikemukakan PAS menjadi kenyataan, Dr. Mahathir dilihat masih mampu mempertahankan jawatan Perdana Menteri berdasarkan kelebihan beliau sebagai penyandang berbanding Anwar.

Menurutnya, selain menerima sokongan penuh PAS dan sebahagian besar pemimpin UMNO, Dr. Mahathir masih mempunyai kelebihan kekal sebagai Perdana Menteri dengan penerimaan undian kukuh daripada parti-parti Sabah dan Sarawak.

“Dalam kalangan ahli Parlimen PH, Anwar pastinya memiliki kelebihan kerana majoriti dalam PKR dan DAP akan sokong beliau kerana merasakan diri mereka ‘teraniaya’.

“Walaupun tidak dapat sokongan majoriti PH, dengan sokongan parti pembangkang serta pihak luar termasuk parti Sabah dan Sarawak, Dr. Mahathir dijangka boleh kekal Perdana Menteri kerana tradisi politik negara sukar untuk menjatuhkan penyandang jawatan itu melalui Dewan Rakyat.

“Secara peribadi, saya sangat berharap dan bersetuju sekiranya usul ini diluluskan Dewan Rakyat kerana polemik peralihan kuasa Perdana Menteri perlu ditamatkan segera demi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, semua pihak perlu menghentikan sebarang usaha menafikan hak Dr. Mahathir untuk terus mentadbir negara ini sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, langkah PAS mengemukakan usul percaya kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah sangat bertepatan untuk mengenepikan usaha mana-mana pihak yang cuba mengundurkan segera beliau dari jawatan itu.

“Sepatutnya kumpulan yang mahukan peralihan kuasa berlaku antara Dr. Mahathir dan Anwar perlu menunjukkan kesetiaan kepada Dr. Mahathir dengan menafikan polemik peralihan kuasa ciptaan mereka sendiri.

“Meskipun ada konsensus persetujuan janji peralihan kuasa Perdana Menteri, pemimpin PH perlu mendahulukan kepentingan negara dengan memperkukuhkan kepimpinan Dr. Mahathir berbanding mengemukakan tuntutan bersifat kepentingan diri dan parti tertentu,” katanya.

Md Shukri berkata, dalam konteks kepimpinan Dr. Mahathir, beliau ketika ini dilihat memainkan peranan pendamai kuat antara kerajaan dan pembangkang, sekaligus mengembalikan amalan demokrasi profesional di negara ini.

Menurutnya, sekiranya pemimpin lain menggantikan Dr. Mahathir ketika ini, rakyat bimbang tokoh pengimbang kestabilan politik antara parti kerajaan dan pembangkang telah tiada sekaligus menggugat kestabilan politik negara.

“Kita patut malu dengan negara Indonesia yang mampu melantik menteri dari parti pembangkang untuk bersama-sama memajukan negara sekalipun fahaman politik berbeza.

“Kita tidak harus ketinggalan dengan Indonesia dalam mengamalkan demokrasi profesional dan pemimpin PH harus memperkukuhkan sokongan kepada Perdana Menteri semasa.

“Saya berharap Datuk Seri Anwar (Ibrahim) tidak terpengaruh dengan sentimen pihak tertentu dan sekiranya wujud keperluan kerajaan gabungan baharu, ia tiada masalah selagi kepentingan awam diutamakan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...