Isu FGV: Zakaria Gesa Campur Tangan SPRM

KUALA LUMPUR – Presiden Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat FGV.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FGV turut menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh suruhanjaya itu bagi membuktikan apa-apa perkara yang tidak baik dalam FGV.

“Kemelut yang berlaku akhir-akhir ini sangat-sangat merungsingkan saya dan ini merupakan suatu perkara yang saya sendiri ambil sangat serius.

“Jadi, saya mahu perkara ini diselesaikan dengan cara yang sebaiknya. Saya  sedia untuk disiasat dan saya mengesyorkan pihak SPRM untuk datang dan menyiasat FGV,” katanya.

Menurut Zakaria lagi, pembabitan SPRM juga untuk memudahkan pihak berkenaan dapat menyiasat secara telus sekiranya berlaku perkara yang tidak baik dalam FGV.

“Jadi senang, bolehlah tahu nanti apa yang telah kita (FGV) buat dan apa perkara-perkara yang telah kita laksanakan.

“Dan kalau ada perkara-perkara yang tidak baik yang telah dibuat sama ada oleh pihak saya atau pihak pengurusan atau pihak atasan dapat kita perjelaskan dan buktikan kesahihannya,” katanya.

Terdahulu, Zakaria telah diarahkan untuk bercuti berkuat kuasa serta merta oleh lembaga pengarah FGV.

Difahamkan, arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan FGV menyiasat isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk salah sebuah anak syarikat FGV, Delima Oil Products (DOP).

Zakaria bagaimanapun akur dengan arahan itu namun beliau tetap bertegas akan mempertahankan diri walau apa juga yang berlaku.

“Terpulang kepada keputusan FGV. Saya akan pertahankan diri walau apa juga yang berlaku,” katanya. – MYNEWSHUB.CC