KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail berkenaan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semalam telah melanggar Akta Suhakam dan bercanggah dengan kewajipannya sebagai anggota Suruhanjaya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kabinet telah memutuskan dengan secara rasmi bahawa ratifikasi ICERD adalah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, maka mana-mana Pesuruhjaya Suhakam termasuk Pengerusinya, tidaklah boleh lagi memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh kerajaan.
“Terus memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh kerajaan setelah kerajaan putuskan tidak akan meratifikasinya juga adalah satu perlanggaran tugas yang sangat serius yang menyebabkan Razali perlu segera dipecat daripada jawatan Pesuruhjaya merangkap Pengerusi Suhakam.
“Oleh itu, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri perlu segera membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Razali selaku Pesuruhjaya merangkap Pengerusi Suhakam selaras dengan peruntukan Seksyen 10 (d) (iii) Akta Suhakam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Razali, mengeluarkan kenyataan menyesali sikap kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mempunyai kesungguhan politik dan komitmen untuk meratifikasi ICERD selain menegaskan tekad Suhakam untuk memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE