Harimau Malaya Tekad Muncul Juara Piala AFF Suzuki

PUTRAJAYA – Skuad Harimau Malaya tekad untuk muncul juara Piala AFF Suzuki 2018, sekali gus tidak mahu menghampakan harapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata amanat serta kata-kata semangat Dr Mahathir dalam pertemuan dengan skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihan di Perdana Putra hari ini, menyuntik semangat pasukan negara untuk beraksi cemerlang pada final kejohanan itu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, meminta skuad Harimau Malaya agar tidak mengecewakannya dan juga negara dengan berusaha untuk mencapai kemenangan.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.

“FAM terima cabaran daripada Mahathir untuk muncul juara Piala AFF Suzuki edisi kali ini. Skuad Harimau Malaya perlu bekerja lebih keras supaya tidak menghampakan hasrat Tun (Dr Mahathir) dan rakyat Malaysia,” kata Hamidin kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berterima kasih dengan amanat dan kata-kata semangat yang diberikan Dr Mahathir dan akan mengambilnya sebagai pembakar semangat.

Cheng Hoe mahu skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum, corak permainan dan keyakinan menjelang perlawanan akhir nanti, setelah menunjukkan keyakinan dan komitmen yang tinggi semasa aksi separuh akhir menentang Thailand.

“Kita yakin mampu mencatat keputusan yang baik pada Selasa depan ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Yang penting, seperti Mahathir menyatakan bahawa barisan pemain kena berdisiplin dan semangat kena kuat,” katanya.

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, Rabu lalu.

Keputusan itu sudah cukupi untuk skuad Harimau Malaya layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu.

Sementara itu, tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abdul Razak berkata skuad Harimau Malaya akan bermain bersungguh-sungguh untuk “balas dendam” setelah tumpas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami akan bermain bersungguh-sungguh demi negara. Kami akan berikan terbaik dalam dua aksi perlawanan akhir ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...