“Hari Ini Lain, Esok Lain, Kita Nak Komen Pun Susah”

BUKIT DAMANSARA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah kehilangan kredibiliti kerana pendiriannya yang tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

Menurutnya, Dr. Mahathir membuat pusingan U dengan pada awalnya melepaskan jawatan Perdana Menteri tetapi kini mencalonkan semula dirinya bagi jawatan tersebut.

“Kita pun tak tahu hari ini lain, esok lain, lusa lain, semalam lain. Kita nak komen pun susah. Sebab kejap lagi mungkin tukar fikiran.

“Mula-mula Dr. Mahathir lepaskan jawatan, selepas itu bila Muhyiddin setuju dicalonkan sebagai Perdana Menteri, beliau mahu berpatah balik. Semua orang keliru dengan politik dan keadaan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas meninggalkan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara di sini hari ini.

Beliau berharap isu Perdana Menteri dapat diselesaikan dengan segera kerana negara pada hari ini tidak berkerajaan.

“Ini memberi kesan kepada ekonomi negara yang dilihat tidak menentu disebabkan oleh masalah politik. Pelabur juga takut dengan keadaan sekarang.

“Dr. Mahathir sepatutnya mementingkan negara dan rakyat berbanding diri sendiri,” katanya. – Sinar Harian

Loading...