Harga Kekal Sama Walaupun GST Sifar

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai akan tiadanya perubahan harga pada kebanyakan barangan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar sejak 1 Jun lepas.

Timbalan Presidennya Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan supaya membuat pemantauan harga barangan keperluan asas kerana tiadanya perubahan pada harga seperti yang diharapkan rakyat dan kerajaan.

“Kita menerima aduan menerusi e-mel atau laman sosial Facebook tentang harga barangan yang tidak berubah walaupun GST sifar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini dan menambah bagaimanapun pihaknya tidak menerima aduan mengenai harga barangan yang semakin mahal.

Selain itu, Mohd Yusof berkata senarai jenis barangan keperluan yang sepatutnya turun harga perlu didedahkan kepada pengguna supaya mereka peka dengan perbezaan harga barangan semasa berbelanja.

“Dengan mendedahkan jenis barangan yang sepatutnya turun harga selepas cukai GST pada kadar sifar dapat mengelakkan kekeliruan,” katanya dan berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak mengenakan cukai sebanyak enam peratus itu. – BERNAMA

Loading...