Emilia Masih Berdegil Dengan Tuntutan RM250 Juta?

TINDAKAN Emilia Hanafi, bekas isteri Datuk Wira SM Faisal Nasimuddin mengepos gambar-gambar kononnya beliau dipukul teruk oleh SM Faisal di laman sosial baru-baru ini membangkitkan persoalan serius.

Kenapa sekarang baru beliau menghebahkan perkara ini, dan apa pula sebenarnya motif di sebalik tindakannya itu?Bagi mereka yang mengenali SM Faisal dan keluarga secara rapat mungkin sudah tahu jawapannya.

Bagi mereka yang tidak mengenali pasangan ini, mungkin anda kini bergelumang dengan bermacam persoalan. Adakah benar perwatakan Datuk Wira SM Faisal seperti yang didakwa bekas isteri beliau?

Pertuduhan kononnya tokoh korporat muda ini telah mencederakan isteri beliau sebenarnya telah pun dibicarakan di mahkamah. Dalam perbicaraan tersebut, Datuk Wira SM Faisal telah didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada segala pertuduhan.

Datuk Wira SM Faisal sendiri telah menampis tuduhan tersebut menerusi akaun Instagramnya baru-baru ini.

Dalam apa-apa situasi pun, sudah pastilah kita kena mendengar penjelasan atau cerita kedua-dua belah pihak dan tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sebelah pihak semata-mata.

Datuk Wira SM Faisal berharap masyarakat umum dapat menghormati privasi beliau dan keluarga sementara mereka menyelesaikan pertikaian yang berlanjutan ini sesama mereka sendiri.

Ramai berpendapat tindakan Emilia Hanafi menghebahkan semula kes tersebut hanyalah bermotifkan wang semata-mata kerana selama beberapa tahun ini beliau telah melakukan pelbagai perkara untuk menagih simpati masyarakat umum menerusi pos-pos di laman sosialnya.

Tindakan terbarunya ini adalah rancangan terancang yang telah bermula sejak beberapa tahun lepas.

Emilia Hanafi tidak teragak-agak mengupah wartawan, memanggil kru agensi berita ke mahkamah serta membayar agensi-agensi media sosial untuk memburuk-burukkan bekas suami, keluarga serta syarikat milik bekas suaminya itu.

Selama beberapa tahun kebelakangan ini, Datuk Wira SM Faisal hanya berdiam diri kerana enggan membawa urusan peribadi dan keluarga ke pengetahuan umum.

Ingatlah, Emilia Hanafi pernah mewujudkan kekecohan di dalam kamar mahkamah dengan tujuan untuk memburukkan nama baik Datuk SM Faisal dan keluarganya.

Kekecohan yang telah ditularkan di internet tahun lepas telah mendedahkan siapa sebenarnya diri beliau – seorang diva yang dahagakan perhatian umum.

Lebih menyedihkan lagi, beliau kerap menggunakan anak-anak sebagai “senjata” untuk “berperang” dengan bekas suami beliau itu, termasuklah sengaja membawa anak-anak ke mahkamah dalam proses pengurusan kes (case management) yang sebenarnya tidak memerlukan plaintif untuk hadir.

Walaupun pihak mahkamah telah memberikan hak kepada Datuk Wira SM Faisal untuk bertemu dengan anak-anaknya, Emilia Hanafi telah menafikan hak tersebut dengan menggunakan pelbagai helah termasuklah engkar dengan keputusan mahkamah. Datuk Wira SM Faisal kesal kerana sejak tiga tahun lepas, beliau telah dinafikan hak untuk bertemu tiga orang cahaya matanya itu. Anak-anaknya juga telah dihalang untuk berjumpa dengan nenek mereka.

Kes penceraian pasangan ini masih belum dapat menemui jalan penyelesaian hanya kerana tindakan Emilia Hanafi yang melengah-lengahkan proses perbicaraan dan membuat tuntutan yang sangat tidak munasabah. Selain itu, beliau juga kerap bertukar peguam yang mewakilinya, menjadikan kes ini terus berpanjangan sehingga hari ini.

Dikhabarkan, Emilia telah membuat tuntutan berjumlah RM250 juta daripada Datuk SM Faisal. Tuntutan tidak munasabah ini telah mengakibatkan sejumlah sepuluh firma guaman yang mewakilinya menarik diri. Bukan satu atau dua, tapi sepuluh firma guaman yang dilantik telah menarik diri. Lebih melucukan lagi, bil-bil firma guaman yang dilantik telah dihantar ke rumah keluarga Datuk Wira SM Faisal sendiri!

Datuk Wira SM Faisal tidak berniat langsung untuk memanjangkan kes perceraian beliau. Beliau hanya mahu menjamin masa depan anak-anaknya yang kini menjalani kehidupan yang tidak tenteram mahu pun stabil bersama bekas isteri beliau itu.

Mereka kerap berpindah randah dengan menyewa atau menumpang sehinggakan mengganggu alam persekolahan anak-anak tersebut. Di samping itu, gaya hidup bekas isteri beliau itu yang masih mahu bersosial dan mengabaikan anak-anak cukup merisaukan Datuk Wira SM Faisal.

Tindakan Emilia Hanafi memberi gambaran bahawa Datuk Wira SM Faisal enggan membayar nafkah bekas isteri serta anak-anak adalah sangat dikesali. Ramai tidak mengetahui bahawa Datuk Wira SM Faisal telah menawarkan pakej penyelesaian yang sangat lumayan kepada bekas isterinya itu.

Tawaran sebuah rumah banglo di Lembah Klang, dua buah kereta serta pemandu untuk kegunaan mereka, wang perbelanjaan persaraan dan persekolahan anak-anak berjumlah RM10,000 sebulan semuanya telah ditolak oleh Emilia Hanafi.

Lebih menyedihkan lagi, yuran persekolahan untuk tiga tahun di sebuah sekolah antarabangsa terkemuka di ibukota telah pun dibayar oleh Datuk Wira SM Faisal, namun Emilia Hanafi sehingga kini gagal membawa anak-anak ke sekolah tersebut.

Datuk Wira SM Faisal sangat kesal dengan tindakan bekas isteri beliau memandangkan selama ini beliau telah membantu seluruh keluarga bekas isteri dengan menawarkan peluang pekerjaan di syarikat Naza. Beliau turut menanggung kehidupan keluarga Emilia yang rata-rata tidak bekerja tapi mahu menjalani kehidupan yang sangat mewah.

Datuk Wira SM Faisal hanya mahu mencari jalan penyelesaian yang adil untuk semua pihak yang terlibat tanpa melibatkan publisiti yang boleh melukakan atau mencemar nama mana-mana pihak. Kebahagiaan dan kehidupan anak-anak beliau adalah perkara yang paling penting dalam hidup beliau.

Dalam posnya di Instagram, Datuk Wira SM Faisal turut menggesa masyarakat umum agar tidak mudah terpedaya dengan segala andaian atau spekulasi yang berpandukan kepada pos-pos laman sosial bekas isterinya itu.

Memetik petikan asal dari page Love Malaysia

Loading...