Dunia Berdepan Kekurangan Bekalan Kondom

18

KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan kondom global semakin meningkat susulan wabak COVID-19 menyebabkan kilang terpaksa ditutup sehingga menjejaskan bekalan, kata pengeluar utama dunia bagi alat pencegah kehamilan itu.

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memberi amaran mengenai akibat ‘buruk’ daripada masalah itu.

Lebih separuh penduduk dunia kini berkurung di rumah berikutan penularan COVID-19, dengan banyak negara mengarahkan penutupan perniagaan yang dianggap tidak penting.

Malaysia, iaitu antara pengeluar getah dan sumber bekalan kondom yang utama di dunia, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada bulan lalu ketika jangkitan wabak melonjak di Asia Tenggara.

Susulan itu, Karex yang merupakan gergasi kontraseptif Malaysia dan menghasilkan satu bagi setiap lima kondom di seluruh dunia, dijangka mencatatkan penurunan pengeluaran 200 juta kondom berbanding kadar biasa dari pertengahan Mac hingga pertengahan April.

Ketua Eksekutif Karex, Goh Miah Kiat, memberi amaran bahawa dengan pengeluar lain di seluruh dunia berkemungkinan turut menghadapi gangguan dan kesukaran memasarkan kondom susulan masalah pengangkutan, bekalan akan terjejas teruk.

“Dunia pasti melihat kekurangan bekalan kondom.

“Ia mencabar, namun kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk melakukan apa yang termampu. Ia memang suatu kebimbangan utama – kondom adalah peralatan perubatan yang penting.

“Dalam pada memerangi pandemik COVID-19, ada isu serius lain yang kita juga perlu lihat,” katanya kepada AFP sambil menambah beliau secara khusus bimbang mengenai pembekalan kondom ke negara membangun.

Karex yang membekalkan kondom kepada banyak syarikat dan negara serta untuk pengagihan melalui program bantuan, terpaksa menutup tiga kilangnya di Malaysia susulan PKP.


Bagaimanapun, syarikat itu telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula dengan membabitkan 50 peratus daripada bilangan tenaga kerja biasa.

PBB melalui agensi kesihatan reproduktif dan seksual bawahnya, turut memberi amaran bahawa mereka kini memperoleh kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada jumlah biasa bekalan kondom berikutan pandemik itu.

“Penutupan sempadan dan langkah sekatan lain menjejaskan pengangkutan serta pengeluaran di sebilangan negara serta wilayah,” kata jurucakap Dana Penduduk PBB.

Justeru, katanya, mereka sedang mengambil tindakan seperti menambah pembekal bagi memenuhi keperluan mendesak.

Menurut agensi itu yang bekerjasama dengan kerajaan seluruh dunia bagi menyokong perancangan keluarga, kebimbangan utama ialah pembekalan kondom ke tempat yang memerlukannya segera, sekali gus memberi amaran bahawa negara termiskin dan terlemah akan paling terjejas sekiranya berlaku kekurangan stok.

“Kekurangan kondom atau sebarang kontraseptif, boleh membawa kepada peningkatan kehamilan tidak diingini dengan kesan yang berpotensi memudaratkan kesihatan dan sosial remaja perempuan, wanita serta pasangan dan keluarga mereka,” kata jurucakap itu.

Menurut agensi itu lagi, kes pengguguran kandungan secara tidak selamat juga boleh bertambah, selain peningkatan risiko penyakit jangkitan seksual dan HIV.

Bagaimanapun, pengeluar utama kondom di China kini beroperasi semula apabila pihak berkuasa negara itu melonggarkan sekatan ketat sebelum ini berikutan keadaan wabak yang kian terkawal. – Agensi