Dr Zulkifli Beri Semangat Kepada Nor Atho’ullah

SHAH ALAM – “Apa juga ujian ALLAH itu, kita perlu sabar dan tabah. Pak cik dan menteri-menteri lain akan berikan sokongan serta bantuan. Sekiranya ada masalah boleh telefon pak cik, nanti kita tengok apa yang boleh kita bantu”.

Itu kata-kata semangat diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada dua beradik, Mohamad Nor Atho’ullah, 11, dan Nur Kamilatul Alifah, 26, melalui perbualan rakaman video yang dikongsinya di Twitter beliau pada Selasa.

Dua beradik itu baru kehilangan bapanya, Mohamad Kamil Ghazali, 51, akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 15 Januari lalu.

Menerusi ciapan video berdurasi 2 minit 20 saat, Zulkifli turut memohon maaf kepada keluarga berkenaan kerana belum berkesempatan untuk bertemu akibat kekangan masa namun bercadang berjumpa mereka untuk menjamu selera pada satu hari nanti.

Beliau turut memberi tiga pesanan kepada kanak-kanak itu agar taat kepada ibu dan bapa, tidak meninggalkan solat dan belajar bersungguh-sungguh serta rajin.

“Pakcik mahu semua keluarga Nor Atho’ullah berjaya 100 peratus dan jadi orang yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Insya-ALLAH.

“Walau apa pun terjadi dalam kehidupan kita, itu adalah adat resam kehidupan dan kita beruntung kerana masih ada ibu lagi maka sayangilah dia, taatlah dia, insya-ALLAH barakah dalam hidup kita,” katanya.

Dalam perbualan ringkas itu, Nur Kamilatul memberitahu, dia mengusahakan perniagaan roti secara kecil-kecilan menerusi perusahaan kecil sederhana (PKS) di rumah.

Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Zulkifli membaca doa dan juga memberitahu pihaknya akan menyediakan bantuan kepada keluarga terbabit.

Allahyarham Mohamad Kamil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu dengan bantuan hospital dan Jabatan Kesihatan Pahang.

Beliau yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang tahap empat pada mulanya dimasukkan ke Hospital Serdang pada 31 Disember sebelum disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Mohamad Nor Atho’ullah bersama ibunya, Norazah Aziz, 50, bersama lima adik-beradiknya dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang kini sudah sembuh serta dibenarkan keluar. – Sinar Harian