Bukan Warganegara Perlu Bayar Caj Penuh Kuarantin

KUALA LUMPUR – Semua individu bukan warganegara yang masuk dari semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 iaitu RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan.

“Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manaka bagi anak berumur bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma.

“Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin bagi  warganegara Malaysia. Mereka perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini. Bagaimanapun, kos pengoperasian sebanyak RM2,600 kekal ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri dan arahan itu dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal bukan warganegara sahaja.

Dalam pada itu beliau berkata seramai 33,534 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan sejak 24 Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,005 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 25,426 individu didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 137 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (39), penjarakan fizikal (32), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (25), disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran (14).

“Gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (10), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (tujuh), tidak memakai pelitup muka (enam) dan empat premis beroperasi tanpa kebenaran,” katanya.

Sementara itu, mengenai Operasi Benteng Ismail Sabri berkata seramai 67 pendatang tanpa izin, lima tekong, tiga penyeludup ditangkap selain sebuah bot serta 13 kenderaan darat dirampas.

“Daripada jumlah itu, pasukan ATM berjaya menahan lapan pendatang tanpa izin atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di Ladang Sg Tengah, Johor.

“PDRM turut menahan dua pendatang tanpa izin atas kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di Pengkalan Haram Kebun, Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya. – BERNAMA

Loading...