Bob Lokman Terima Lawatan Mufti WP

DERITA dilalui pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman yang kini mempunyai masalah jantung dan paru-paru berair dan telah dikongsinya sendiri di laman Facebook sebelum ini membuatkan ramai orang bersimpati dengan keadaannya.

Entri yang menyayat hati itu menyebabkan ramai orang menyampaikan kata-kata semangat serta turut mendoakan kesembuhan terhadap penyakit yang dilaluinya itu.

Terbaharu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga turut meluangkan masa dengan menziarahi Bob yang sedang uzur dia kediamannya di Sungai Buloh, Selangor, pagi tadi.

Melalui perkongsiannya di Instagram, Zulkifli menceritakan bahawa Bob tetap berbesar hati menyambut kedatangannya walaupun keadaanya tidak berapa sihat.

Malah, dalam pertemuan singkat itu, dia dan Bob sempat berbincang berkenaan keluarga ulama tershor dari Kelantan, iaitu Tok Kenali.

“Dalam waktu yang amat terhad pagi ini, kami sempat mengunjungi saudara Bob Lokman yang mengalami keuzuran di rumahnya.

“Walaupun begitu, beliau tetapi menggagahkan diri menyambut kami dan sempat berbincang berkenaan keluarga Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan,” tulisnya.

Tambahnya, penulis lirik lagu Isabella nyanyian Search itu juga pernah hadir menziarahi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) untuk bertemu dengannya beberapa tahun lalu.

“Bob Lokman pernah mengunjungi kami di PMWP cawangan Kuala Lumpur beberapa tahun lepas.

“Semoga Allah kurniakan kesihatan kepadanya. Mohon maaf kerana kehadiran agak mengejut dan tidak dapat berbual panjang kerana hambatan masa dan tugas,” jelasnya.

Di ruangan komen posting daripada mufti itu, orang ramai turut sama-sama mendoakan semoga Bob cepat sembuh dari penyakitnya.

Pada Isnin lalu, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin merudum selain turut meluahkan bahawa dia tidak akan merasai kegembiraan seperti dahulu lagi.

Sejak berita berkenaan kemasukannya ke wad pada awal tahun ini, Bob telah menerima beberapa bantuan kewangan daripada pelbagai pihak termasuk teman rapat serta saudara maranya.

Kami di Mynewshub juga ingin mendoakan supaya kesihatan Bob pulih seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga tersayang. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...