BN Pahang Optimis Mampu Kekalkan Kemenangan

KUANTAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis parti berkenaan mampu mengekalkan kemenangan di Parlimen Cameron Highlands sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan itu.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian memandangkan calon Barisan Nasional (BN) kawasan itu Datuk C. Sivarraajh akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pilihan Raya membatalkan kemenangannya semalam.

“Pada masa itu lima penjuru, pada PRK akan datang kita tidak tahu berapa penjuru…kita tunggu dan lihat. Masih terlalu awal untuk buat andaian, rayuan pun belum dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran KPJ Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peluang BN memenangi kembali Parlimen Cameron Highlands sekiranya PRK diadakan berikutan majoriti tipis yang diperolehi calon BN itu sebelum ini.​​​​​​​

Bagaimanapun Wan Rosdy berkata sebagai persediaan, beliau akan memanggil mesyuarat BN negeri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu selain strategi yang akan diatur mengekalkan kemenangan sekiranya PRK diadakan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Sivarraajh memenang kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, bagaimanapun memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, berikutan mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.​​​​​​​

Berikutan itu Mahkamah Pilihan Raya semalam mengisytiharkan keputusan pilihan raya Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan calon BN itu.​​​​​​​

Sementara itu seramai 80 kanak-kanak berumur daripada tiga hingga 12 tahun dari sekitar daerah ini menyertai program berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan oleh KPJ Pahang itu dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Yasser Arafat Ishak.

Sebahagian besar daripada kos program berkenaan ditanggung oleh KPJ sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial (CSR) pusat perubatan berkenaan dengan ibu bapa hanya perlu membayar kos sebanyak RM50 untuk menyertai program berkenaan yang dijayakan menggunakan khidmat 10 doktor pakar dan 100 kakitangannya. – BERNAMA

Loading...