BN Kekal Sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk dari UMNO, secara majoritinya akan menyokong Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menegaskan sokongan mereka kepada Belanjawan 2021 tidak berubah seperti pendirian yang dinyatakan sebelum ini.

“Saya sudah nyatakan pendirian kami, UMNO dan BN semalam (kelmarin) dan disertakan bersama kenyataan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 4 November lalu untuk menyokong belanjawan itu.

“Sokongan kami tidak berubah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Semalam, katanya, beliau bersama Ahmad Zahid; Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bertemu Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ahmad menegaskan, mereka berpuas hati dengan penjelasan diberikan Tengku Zafrul.

“Kami berpuashati dengan penjelasan beliau berhubung dua perkara yang menjadi tuntutan kami sebelum ini dan mungkin ada pengumuman besar esok (hari ini) walaupun tidak 100 peratus cadangan kami diterima,” katanya.

Dua perkara menjadi tuntutan itu adalah pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta moratorium bayaran balik pinjaman.

Dewan Rakyat mempunyai keseluruhan 222 ahli tetapi dua kerusi kosong berikutan kematian Ahli Parlimen Gerik daripada UMNO, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Batu Sapi daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Liew Vui Keong.

BN kini memiliki 42 kerusi dengan UMNO menyandang 38 kerusi, diikuti MCA dengan dua kerusi dan masing-masing satu kerusi MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah(PBRS), manakalaPAS memiliki 18 kerusi Parlimen.

Ahmad ditanya mengenai pendirian Ahli Parlimen UMNO dan BN terhadap Belanjawan 2021 susulan 20 anggota pentadbiran kerajaan daripada BN kelmarin mengeluarkan kenyataan menyokong belanjawan itu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama yang menyatakan, pendirian mereka selari dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya Ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Twitter semalam, Ahmad menulis: “Dimaklumkan Ahli BNBBC (Majlis Ahli Parlimen BN) secara majoriti tetap berpegang kepada kenyataan Presiden UMNO/Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung sokongan kepada Bajet 2021.

“Saya juga berharap dua permohonan mengenai Akaun 1 KWSP dan moratorium dipenuhi.

“Jika tidak 100 peratus, maka 70-80 peratus pun OK.”

Catatan itu turut disertakan dengan kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan pada 4 November lalu berhubung sokongan Ahli Parlimen BN kepada Belanjawan 2021.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Yassan, ketika ditanya BH mengenai perkara sama melalui aplikasi WhatsApp, dengan ringkas menegaskan, partiitu menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021. – BH Online