Bekas KP Perisikan, 2 Pegawai Kanan ATM Didakwa

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Sheikh Moksin Sheikh Hassan serta dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 17 pertuduhan menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat kontraktor berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan (Kementah). 

Sheikh Moksin, 59; Lt Kol Che Ahmad Idris, 54 dan Brig Jen Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Che Ahmad yang merupakan Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementah ketika kejadian didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan menerima suapan RM105,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd (FEHM Entity) Elias Jemadi Tajudin sebagai dorongan melantik syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagiannya di Kementah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementah, di sini, antara September 2019 dan  7 April 2020.

Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan Menteri Pertahanan semasa kejadian, didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM128,000 daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Eksekutif FEHM Entity Hishamuddin Johari dan Pengurus Projek syarikat sama Nurin Nazwa Elias Jemadi sebagai dorongan untuk membantu menyerahkan Surat Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan untuk Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di parkir Masjid Khalid Al-Walid, Kementah; parkir Dorsett Residences Sri Hartamas; di hadapan syarikat FEHM Entity, Wangsa Maju dan Persiaran Bukit Melawati, Bukit Melawati  di sini, antara 30 Oktober 2019 dan 24 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin pula didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM1 juta, satu pertuduhan setuju terima suapan RM1 juta dan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM266,000 daripada Elias Jemadi sebagai dorongan untuk meluluskan cadangan pelantikan syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan di bahagiannya di Kementah.

Pesara tentera itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Havana Club, Hotel Concorde; Pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementah dan HairDoc Medical Publica, Solaris Dutamas, di sini antara 20 Jun 2019 dan 5 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin juga didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi melaksanakan perolehan, perbekalan, penghantaran, latihan dan pentauliahan bagi dua sistem khas kepada bahagiannya di pejabatnya, pada 2.30 petang, 26 Jun 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan TPR Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan bagi setiap tertuduh.

“Dalam kes ini, pertuduhan terhadap setiap tertuduh melibatkan jumlah yang besar dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda.

“Kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai tinggi juga perlu diambil kira. Mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang setimpal supaya menunjukkan kepada orang di luar sana bahawa mahkamah memandang serius terhadap kes-kes sebegini,” kata Muhammad Asraf.

Sementara itu, TPR Siti Noor Hafizan Zakaria memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan satu penjamin bagi pertuduhan ketujuh yang dihadapi Sheikh Mohsin (menerima suapan RM50,000 daripada Syed Omar).

Kesemua tertuduh yang masing-masing diwakili peguam Gooi Soon Seng (Che Ahmad), Azrul Zulkifli Stork (Mohammed Feizol Anuar) dan  P.G. Cyril (Syeikh Moksin) merayu jaminan rendah dengan alasan kesemua mereka adalah penanggung utama keluarga.

“Mohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap Syeikh Moksin memandangkan dia adalah seorang pesara dan dua daripada anaknya masih belajar. Selain itu, tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan pihak SPRM.

“Saya juga memohon tidak mengenakan sebarang jaminan bagi satu lagi pertuduhan (pertuduhan ketujuh yang dihadapi Syeikh Moksin) memandangkan tertuduh telah diberikan jaminan RM100,000 bagi enam pertuduhan lain,” kata Cyril.

Mahkamah  membenarkan Che Ahmad dijamin RM80,000, Mohammed Feizol Anuar RM60,000 dan Sheikh Moksin RM110,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta mereka perlu menyerahkan paspot kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan kediaman sebulan sekali.

Mahkamah  menetapkan 27 November untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 15 Oktober lepas, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen  di sini atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada FEHM Entity bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu. – BERNAMA

Loading...