Bapa Nafi Kematian Amirul Akibat Tekanan Pembelajaran

TAIPING – Bapa seorang pelajar Malaysia yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapurinya di Sydney, Australia meminta orang ramai supaya tidak mempercayai berita di laman sosial yang mendakwa anaknya Amirul Ashraff jatuh dari pangsapuri akibat tekanan dalam pembelajaran.

“Saya minta orang ramai supaya jangan membuat spekulasi tidak betul tetapi doakanlah urusan penghantaran dan pengebumian anak saya dipermudahkan.

“Saya reda dengan ketentuan ALLAH yang menentukan kematian anak saya walaupun Amirul Ashraff, 22, menjadi harapan saya dalam keluarga,” kata bekas pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Md Azhar Hasbullah, 48.

Beliau berkata Amirul Ashraff merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik dan menjadi harapan serta contoh kepada adik-adiknya yang lain.

“Saya sekeluarga terasa dengan kehilangannya namun itu semua adalah takdir ALLAH,” katanya ketika ditemui Bernama dirumahnya di Rancangan Perkampungan Tersusun Tekah, Asam Kumbang di sini hari ini.

Semalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pelajar tajaannya itu yang merupakan penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology Of Sydney, Australia maut disebabkan tergelincir dari bangunan.

Md Azhar, berkata anaknya tidak menyatakan mempunyai masalah dan ceria ketika dia menghubunginya selama 10 minit untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran anaknya itu pada 30 Julai lalu.

“Malah rakan-rakannya ada menghubungi saya semalam dan memaklumkan Amirul Ashraff tidak ada masalah dan arwah juga menyambut hari lahir dengan rakan-rakannya,” katanya.

Md Azhar berkata kali terakhir Amirul Ashraff pulang bercuti di kampungnya ialah pada September tahun lepas.

“Semasa pulang bercuti pun dia kelihatan ceria walaupun pendiam dan gemar menggunakan komputer yang dibeli dengan harga RM4,000 untuk bermain game (permainan komputer). Masa itu tidak ada apa-apa perubahan pada dirinya.

“Saya juga meminta anak saya menduduki ujian di sebuah sekolah di sini untuk mengambil lesen memandu kereta,” katanya.

Beliau berkata Amirul Ashraf turut kelihatan ceria semasa dia sekeluarga menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Australia pada 24 Februari lalu.

Md Azhar berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai Mara bahawa jenazahAmirul Ashraff akan dibedah siasat pada hari ini.

“Difahamkan saya akan perolehi laporan kematiannya dalam tempoh tiga hingga empat hari,” katanya.

Menurutnya semua urusan membawa pulang jenazah Amirul Ashraff akan diuruskan oleh Mara.

Katanya jenazah Amirul Ashraff akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Asam Kumbang apabila tiba di sini nanti.

Loading...