Arab Saudi Hanya Tahu Penutupan KSICP Melalui Media – Asyraf Wajdi

TINDAKAN kerajaan Malaysia menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSICP) dengan tergesa-gesa tanpa berbincang dengan kerajaan Arab Saudi telah menjejaskan…

TINDAKAN kerajaan Malaysia menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSICP) dengan tergesa-gesa tanpa berbincang dengan kerajaan Arab Saudi telah menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu ke tahap yang disaksikan pada masa kini, demikian gambaran yang diberikan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Beliau yang menjadi pengerusi bersama pusat antiterorisme itu berkata, malah pihak Arab Saudi sendiri mendapat berita penutupan pusat itu melalui laporan media.

Proses penutupan pusat ini “tidak dibuat secara diplomasi, dan tidak diberitahu pun secara rasmi kepada kerajaan Arab Saudi. Mereka hanya mengetahui melalui laporan akhbar.”

Jelas Asyraf, memasa membuat keputusan menutup KSICP, kerajaan Malaysia sedikit pun tidak mengambil kira air muka kerajaan Arab Saudi, dan ini mengecewakan pihak Saudi.

Kalau dulu Raja Salman boleh datang ke negara kita, kenapa tidak kita menghantar delegasi pergi beritahu secara beradab kenapa kita tidak mahu Pusat Keamanan Arab Saudi ini,” katanya kepada Mynewshub dalam satu wawancara eksklusif.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut bekas timbalan menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, apa yang menghairankan ialah sehingga ke hari ini, tidak ada pemakluman melalui surat rasmi kepada Arab Saudi memaklumkan penutupan pusat ini.

“Ini satu perkara yang tidak beradab dan tidak berakhlak,” katanya.

Katanya, pihak Arab Saudi mengetahui hal ini melalui laporan media, kerana mereka langsung tidak dimaklumkan secara rasmi tentang penutupan pusat ini sebelum Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkannya.

Mohamad pada Ogos lalu mengumumkan penutupan pusat membanteras fahaman ektremis itu, dalam keputusan keduanya melibatkan hubungan dengan Riyadh selepas keputusan menarik tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi.

“Saya sendiri semasa bertemu dengan rakan sejawat saya pada Ramadan yang lepas, apa sebenarnya status pusat tersebut, kerana beliau membacanya dari laporan akhbar,” katanya.

Menurut Asyraf, beliau sendiri tidak dapat memberikan jawapan kerana kerajaan sudah bertukar dan beliau bukan lagi dalam kerajaan.

Dalam perbincangan kali pertama dengan Putera Muhammd bin Salman, saya sendiri memberitahu baginda, salah satu kebimbangan yang akan timbul ialah Arab Saudi mahu mengeksport fahaman Salafi Wahabi ke Malaysia.

Menurut Asyraf, Muhammad menjawab yang Arab Saudi tidak akan mencampuri urusan operasi Pusat Keamanan tersebut.

“Saya sebagai pengerusi bersama bertanggungjawab mencorakkan apa fokus Pusat Keamanan ini,” katanya, sambil menegaskan tidak timbul isu ideologi dalam hal ini.

Malah, menurut Asyraf, Pusat Keamanan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk mempromosikan ajaran Islam yang sebenar kepada semua, kerana Malaysia diiktiraf dunia sebagai model negara Islam yang sederhana, selari dengan konsep wasatiyah yang dikemukakan oleh kerajaan sebelum ini.

“Dalam kecelaruan dunia untuk melihat model Islam apa yang ingin ditampilkan sebagai model negara yang aman, kita ialah negara Islam yang diiktiraf oleh dunia sebagai model negara islam yang aman, pada masa sama negaranya berbilang agama dan kaum,” tegasnya.

Kelebihan ini, katanya, merupakan satu kualiti yang tidak dimiliki negara-negara Islam lain dan inilah kualiti yang dimiliki dan boleh ditonjolkan oleh Malaysia.

Melalui pusat ini, Malaysia dapat mempromosi Islam model Malaysia yang sederhana, melalui cara menangani isu ekstremisme yang menjadi asas kepada fahaman mendorong kepada terorisme pada masa kini.

Konsep sederhana atau wasatiyah telah dipromosikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai satu kempen mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berfahaman sederhana pada masa sama maju dan makmur. – Mynewshub.tv

Loading...