Salah Ke Zara Zya Bercakap Pasal Mati Pucuk?

SEMALAM pihak Mynewshub memuat naik sebuah video pendek dari artis terkenal, Zara Zya (tonton video di penghujung rencana).

Dalam video itu, Zara bercerita mengenai permasalahan kesihatan lelaki yakni berkaitan isu mati pucuk dan kanser prostat.

Mungkin ada sebahagian pengguna media sosial yang tidak sempat memahami apa yang cuba disampaikan oleh artis berkenaan telah bertindak melulu mempersoalkan mengapa Zara perlu bercakap topik seumpama itu.

Ok… untuk pengetahuan, apa yang Zara cakap itu adalah fakta yang amat penting untuk kesihatan lelaki. Tidak ada apa-apa unsur lucah.

Walaupun datang daripada mulut seorang wanita, namun asas isu itu yang sebenarnya harus diberikan perhatian semua pihak.

Tidak salah pun seorang perempuan bercakap pasal isu demikian sebab setiap lelaki normal, pasangan mereka adalah wanita.

Andai lelaki menderita masalah seperti mati pucuk, pasangan mereka pun akan merasai tempiasnya.

Isu kesihatan lelaki bukan eksklusif kepada lelaki tetapi kesannya dirasai banyak pihak.

Kanser prostat umpamanya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan apabila ditakdirkan terjadi demikian, anak-anak akan kehilangan kasih sayang bapa dan isteri kehilangan kasih sayang suami.

Justeru, kalau pun yang bercakap itu Zara Zya, yang penting adalah apa mesej yang hendak disampaikan.

Alang-alang dah sampai sini, cuba baca beberapa fakta yang penting mengenai dua isu kesihatan lelaki yang terpenting.

Baru anda akan faham apa yang Zara Zya cakap tu rupanya benda yang seharusnya kita semua ambil peduli.

MATI PUCUK (ERECTILE DYSFUNCTION)

Pengenalan

Definisi: Ketidakupayaan dalam memperolehi dan mengekalkan ketegangan yang cukup lama untuk mencapai kepuasan hubungan seks.

Statistik

–  1 daripada 4 lelaki yang berumur bawah 40 tahun mengalami masalah mati pucuk (ED) – (sumber: Capogrosso P; et al Journal of sexual medicine, 2013:7: 1833–1841).

– 16% daripada populasi lelaki di Malaysia dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun mengalami masalah mati pucuk (ED) – (sumber : Safarinejad et al, urology journal ; 2004: 3, 133-147,).

– 7 daripada 10 lelaki Malaysia umur lebih 40 tahun mengalami masalah mati pucuk (ED) (Sumber :Khoo et al, journal of sexual medicine, 2008: 12, 2925–2934,).

– Kesimpulannya, peningkatan sebanyak 6% setahun dikalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas di Malaysia mengalami mati pucuk (ED).

Sebab-Sebab Mati Pucuk

– Masalah perubatan seperti diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi yang boleh menyempitkan saluran darah (arteriosclerosis). Hubungkait ED dengan penyakit kardiovaskular adalah tinggi ( Montorsi F. et al. Eur Urol 2003;44:360-5).

– Mati pucuk juga berkaitan dengan tabiat merokok, minum alkohol, stres, kegemukan (obesiti) dan kurang aktiviti fizikal.

– Penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

– Kecederaan pada otak dan saraf tunjang.

– Masalah hormon seperti kekurangan paras testosterone yang rendah.

– Kegagalan hati dan buah pinggang.

– Penyakit Parkinson.

– Angin ahmar.

– Komplikasi pembedahan kelenjar prostat atau pundi kencing (jarang berlaku).

– Kesan sampingan ubat-ubatan.

Simptom/Tanda-Tanda

– Ketidakupayaan untuk memperolehi dan mengekalkan ketegangan.

– Ketegangan tidak mencukupi untuk penetrasi dalam hubungan seks.

– Ketidakupayaan dalam mengekalkan ketegangan selepas penetrasi untuk mencapai kepuasan hubungan seks.

Komplikasi

– Kemurungan.

– Kebimbangan semasa hubungan.

– Masalah perkahwinan.

– Rasa rendah diri.

– Kualiti hidup rendah/kurang.

– Rawatan.

Rawatan Bukan Ubat

– Mengamalkan cara hidup sihat boleh membantu sesetengah lelaki dalam masalah ini.

– Berhenti merokok.

– Mengurangkan berat badan yang berlebihan.

– Meningkatkan aktiviti fizikal.

– Masalah mati pucuk akan bertambah baik jika penyakit diabetes atau tekanan darah tinggi terkawal.

– Pengurusan stres.

Rawatan Ubat-Ubatan

– Ubat-ubatan boleh didapati untuk mengubati mati pucuk dalam bentuk pil dan suntikan. Dalam keadaan di mana ubat tidak berkesan atau tidak boleh digunakan, alat vakum khas dan pembedahan implan mungkin berguna. (Anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan kaedah-kaedah rawatan tersebut)

Pencegahan

– Berhenti Merokok dan pengambilan alcohol.

– Pengawalan penyakit darah tinggi dan diabetes secara optima.

– Cara hidup yang sihat.

Rehabilitasi

– Pengendalian stres.

Sekiranya anda mengalami masalah mati pucuk, sila berjumpa dengan Doktor di klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

KANSER PROSTAT

Hasil kajian di Amerika Syarikat, kanser prostat menduduki nombor dua dalam carta punca kematian lelaki negara itu akibat kanser di mana kanser hati adalah penyebab utama.

Malah sepanjang 2016, The American Cancer Society menganggarkan sebanyak 180,890 kes terbaharu kanser prostat dengan 26,120 daripadanya mengalami kematian.

Di Malaysia, tiada kajian spesifik dilakukan berhubung gejala penyakit ini, namun berdasarkan statistik pada 2012, dianggarkan lebih 1.1 juta lelaki negara ini menghidap kanser prostat. Ia diletakkan sebagai pembunuh lelaki nombor empat selepas serangan jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011, Malysia mendapati kanser prostate adlah kanser ke 3 yang paling kerap menyerang kaum lelaki berumur > 60 tahun selepas kanser paru-paru dan kolorektal.

Berdasarkan fakta di atas, kanser prostat boleh dianggap sebagai satu ancaman besar kepada lelaki dan perlu diberi perhatian serius.Ia boleh membawa kepada kematian. Pesakit kanser prostat mempunyai peluang yang sangat baik untuk sembuh berbanding beberapa kanser yang lain.

Walaubagaimanapun, jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal, ia boleh merebak ke bahagian lain seperti tulang dan paru-paru, maka risikonya lebih tinggi.

Prostat & Fungsinya

Prostat adalah kelenjar terletak di antara pangkal zakar dan pundi kencing serta saluran tiub (uretra) yang menyalurkan air kencing dan air mani melalui zakar.

Saiznya mengikut umur seseorang, semakin meningkat umur ia semakin membesar. Proses pembesaran ini dipanggil Benign Prostate Hyperplasia (BPH). Bagi remaja berusia 20-an, saiznya mungkin sebesar guli kecil tapi bagi yang berusia lebih 40 tahun, ia bersaiz guli besar atau paling tidak sebesar kacang ‘walnut’.

Fungsi utama prostat ialah menghasilkan cecair yang berfungsi melindungi, menyokong serta melancarkan pergerakan air mani. Hampir 75 peratus cecair ini dibekalkan dalam pundi air mani, 20 peratus kekal di dalam prostat, empat peratus dalam buah zakar dan satu peratus untuk air mazi.

Apakah Kanser Prostat?

Kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dalam kelenjar prostat. Dalam beberapa kes, kanser ini membiak dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom atau menyedari kewujudannya.

Lama-kelamaan ia akan membesar serta mengelilingi prostat. Jika tidak ‘dibunuh’ dengan segera, ia boleh merebak ke tulang belakang yang mengundang risiko lebih besar.

“Peringkat satu dan dua hanya membabitkan 5 peratus kanser di sekitar kelenjar. Peringkat tiga pula ia mula merebak ke sarung kelenjar prostat atau vesikal seminal. Dan tahap empat yang dikategorikan serius ialah kanser mula merebak ke pundi kencing, dubur, paru-paru dan tulang.

“Serangan ke atas tulang belakang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit belakang malah boleh mengakibatkan lumpuh,” katanya.

Umur

– Kanser prostat lazimnya menyerang lelaki yang berusia lebih 50 tahun malah semakin tua usia anda, semakin mudah diserang kanser ini. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki yang berumur 65 tahun ke atas. Dalam kalangan pesakit kanser prostat di negara ini, kaum Cina merekodkan bilangan insiden tertinggi dibandingkan Melayu dan India.

Sejarah keturunan

– Ia juga melibatkan sejarah penyakit keturunan di mana mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berkenaan lebih terdedah kepada risiko diserang.

Pemakanan

– Pemakanan yang mempunyai kurang sayuran dan buah-buahan serta pengambilan daging merah dan produk tinggi lemak didapati menjadi risiko yang tinggi untuk mendapat kanser prostat di kalangan lelaki.

Obesiti

– Kegemukan dan merokok juga merupakan risiko yang tinggi untuk kanser prostat.

Simptom/Tanda-Tanda

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing seperti terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.

Saringan Kanser Prostat

Ada dua jenis strategi saringan yang kerap digunakan iaitu paras PSA dalam darah dan pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE). Namun saringan untuk kanser prostat masih menjadi kontroversi. Negara seperti Amerika Syarikat mempunyai program saringan sendiri manakala negara seperti United Kingdom, tidak mengesyorkan program saringan. Kontroversi ini disebabkan ada kajian menunjukkan program saringan tidak dapat menurunkan kadar kematian dan kajian lain pula mendapati program saringan menyebabkan pesakit dirawat tanpa keperluan.

Walaubagaimanapun dua saringan yang mudah ini boleh menentukan lelaki mana yang perlu melakukan pemeriksaan lanjut. Apabila didapati paras PSA yang tinggi didalam darah dan pemeriksaan prostat dengan jari mendapati prostat tidak normal, maka pesakit ini dicadangkan menjalani biopsi dan pengimejan prostat.

Saringan adalah disarankan bagi lelaki yang berumur 50 tahun keatas dan mempunyai risiko seperti yang dinyatakan.

Rawatan

Apabila disahkan menghidap kanser prostat, ada beberapa cara rawatan yang boleh dijalankan bergantung pada tahap kanser. Terdapat pelbagai kaedah rawatan seperti ubatan mahupun pembedahan. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda kanser prostat, sila berjumpa dengan Doktor di klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

“ANDA SIHAT, PASANGAN BAHAGIA ”

#BPKK #KKM #SihatBaruMacho

– MYNEWSHUB.CC

Loading...