Anwar Minta SPRM Siasat Dakwaan Sogok Libat Menteri Kanan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bersikap lebih telus dalam menyiasat dakwaan wujudnya sogokan dan ugutan membabitkan seorang menteri kanan seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu antara perkara yang dibangkitkan beliau dalam pertemuan hampir satu jam dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Isnin.

“Saya tegaskan kalau benar ada kes, bukti dan fakta kuat tentang perilaku rasuah, saya tak datang (menemui Azam) untuk pertahankan (kes yang didakwa).

“Tapi ada kes khusus seorang mantan menteri mengadu pada saya, beliau diberi jaminan (oleh) seorang menteri kanan jika beliau lompat (sokong kerajaan), dia akan dibebaskan daripada tindakan rasuah.

“Saya kata kalau kita benar-benar bersih dan tiada rasuah, kita tak harus bimbang. Tapi dalam kes ini seolah-olah keadaan terkawal dan siasatan diam terus,” katanya pada pemberita sebaik selesai mengadakan pertemuan dengan Azam di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun berkata, Azam memberi jaminan kes tersebut tidak akan ditutup sekiranya wujud rasuah seperti didakwa.

“Keseluruhannya (hasil pertemuan), saya puas hati dengan mereka (SPRM), sikap sederhana, lunak, berbincang, dengar hujah-hujah dan pandangan saya.

“Mereka juga kemukakan pandangan dan (saya) ingat ia satu permulaan yang baik,” katanya.

Anwar tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 2.53 petang bagi mengadakan pertemuan dengan Azam.

Beliau yang hadir dengan menaiki kenderaan berwarna hitam sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu di pintu masuk bangunan suruhanjaya itu.

Pertemuan Anwar dengan Azam adalah bagi membincangkan ugutan atau pelawaan yang diterima ahli Parlimen pembangkang daripada seorang menteri kanan agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan kebimbangan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sehingga berlaku lompat parti termasuk daripada PKR. Malah turut mendakwa lima Ahli Parlimen PH diberi ugutan atau pelawaan dengan pelbagai sogokan untuk menarik sokongan mereka. – Sinar Harian