Agong Enggan Kurnia Pingat Hari Keputeraan?

TIDAK BERKENAN… Ketiadaan walau seorang pun dikurniakan darjah kebesaran Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan rasmi baginda cetus pelbagai spekulasi.

Ia julung kali berlaku dalam sejarah negara di sebalik perubahan tarikh sambutan kepada setiap 9 September ini sepanjang pemerintahan Seri Paduka selama lima tahun sehingga 2021 yang mula dilaksanakan pada tahun lepas.

Seorang pegawai di pejabat perdana menteri di Putrajaya ketika dihubungi portal berita pro-Pakatan Harapan (PH), Malaysiakini mengesahkan mengenai berita buruk tersebut namun tidak memberikan butiran dengan lebih lanjut.

“(Sambutan kali ini) hanya ada titah daripada Agong sendiri selepas ucapan merafak tahniah daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” kata seorang lagi sumber di pejabat tersebut yang juga enggan dinamakan.

Difahamkan ini kali pertama Seri Paduka tidak akan mengurniakan darjah kebesaran pada hari keputeraannya sekali gus timbul pelbagai persoalan cepumas mengenai kedudukan hubungan antara Istana Negara dengan PH.

Umum maklum, setelah blok politik aneh itu berkuasa sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mahathir bertegas tidak kembalikan kuasa Raja-Raja Melayu yang dipinda beliau ketika pernah menjadi perdana menteri keempat.

Kenyataan biadab ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu ketika jawab soalan di Dewan Rakyat minggu lalu ternyata bangkit kemarahan rakyat sebagai cubaan PH mahu hapus sistem beraja diganti kepada republik.

Difahamkan senarai penerima darjah Yang di-Pertuan Agong sepatutnya sudah dimuktamadkan pada tahun ini dan sebenarnya telah disediakan lebih awal oleh pentadbiran lalu tetapi disemak semula oleh pihak Istana Negara.

Perkara tersebut turut disebut oleh bekas menteri era Mahathir, Tan Sri Rais Yatim menerusi akaun sosial Twitter beliau semalam yang turut menyokong tindakan tegas itu dan mengucapkan syabas kepada pihak berkenaan.

Beliau yang keluar UMNO dan menyertai parti serpihannya, PPBM bagaimanapun tidak memberikan alasan kenapa tiada seorang pun layak menerima bintang kebesaran pada kali ini sama ada ia disebabkan kemurkaan Seri Paduka.

Atau adakah baginda ingin penjimatan bajet selepas kecoh isu peruntukan peribadi Yang di-Pertuan Agong habis dibongkar secara biadab oleh ‘orang kuat’ Mahathir, Datuk A Kadir Jasin bagi hasut rakyat benci institusi beraja.

Sultan Muhammad V berkenaan menganugerahkan 1,518 darjah kebesaran ketika sambutan hari keputeraannya ke-47 di Istana Negara pada tahun lalu malahan sejumlah 48 individu dianugerahkan darjah dengan gelaran Tan Sri.

Manakala tiga individu iaitu bekas Presiden MIC, Samy Vellu; bekas Timbalan Presiden MCA, Michael Chen dan bekas Ketua Hakim Negara, Md. Raus Shariff mendapat gelaran tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan tarikh ulang tahun Yang di-Pertuan Agong dipinda daripada Sabtu minggu pertama bulan Jun kepada Sabtu minggu terakhir Julai kerana kebetulan jatuh pada bulan Ramadan.

Namun kemudian menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, ia dipinda sekali lagi kepada 9 September dengan mengambil kira suasana ceria perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...