Abdul Hadi Nobat Mahathir Negarawan Dunia

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak semua pihak menghormati Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sangat berjasa kepada negara.

Beliau berkata, Dr. Mahathir berjaya menangani isu-isu berkaitan kerajaan dan pembangkang sejak mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, bekas Perdana Menteri juga berjaya mengawal kemelut politik sehingga selesai dengan aman dalam usianya tanpa sebarang huru-hara seperti negara lain, menjadikan Dr. Mahathir contoh negarawan dunia terkini yang akan disimpan dan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah.

“Perlu dihormati Tun Mahathir yang sangat berjasa kepada negara, supaya jangan (beliau) dikorbankan menjadi kambing hitam oleh pemimpin yang gila jawatan sehingga nafsu mengatasi akal dan sanggup menjadikan matlamat menghalalkan segala cara, tanpa nilai maruah diri, agama, bangsa dan negara.

“Sehingga mengheret ahli politik melakukan perkara yang kotor, menjatuhkan maruah, mendedahkan keaiban dan dosa yang lebih baik disembunyikan dan bertaubat kepada Allah Taala serta bermaafan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu juga bersyukur dan menjunjung kasih dengan penyelesaian diambil oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja sehingga dapat menangani krisis politik negara.

“Sekalung terima kasih kepada Sabah dan Sarawak, pemimpin dan rakyatnya yang berada dalam jasad Malaysia yang menahan kesakitan kerana penyakit menjangkiti mereka, namun mereka menjadi sebab sehingga negara bersatu walaupun dipisahkan oleh lautan yang luas,” katanya.

Kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, Abdul Hadi mendoakan agar Ahli Parlimen Pagoh itu yang dipilih menjadi Perdana Menteri tanpa melobi dan berkempen untuk dirinya sendiri, mendapat kelebihan.

Sementara itu, Presiden PAS menegaskan, Perikatan Nasional yang dibentuk hasil kerjasama beberapa parti akan melaksanakan kewajipan menjaga perpaduan masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua kaum.

“Kami mengambil langkah menyatukan umat Melayu Islam daripada bawah dengan mengadakan Muafakat Nasional (PAS dan UMNO-Barisan Nasional). Tun Mahathir dan kalangan ilmuwan mengadakan Kongres Maruah Melayu.

“Kami mengumpulkan yang berpecah sehingga menghasilkan gabungan Perikatan Nasional, mengambil alih bersama kerajaan yang terpaksa diselamatkan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat Melayu dan Islam supaya berpegang kepada konsep wasatiyyah yang sebenar, menjaga hubungan kemanusiaan dan kekeluargaan dengan istiqamah.

“Begitu juga kalangan bukan Islam, menolak yang ekstrem dengan mengambil penekanan kepada aspek titik persamaan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dengan bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan agama, kaum dan taraf pendidikan.

“Selain itu, penekanan kepada persamaan kehidupan dari aspek moral yang boleh bertaawun (bertolong menolong) dalam perkara kebajikan dan menolak kejahatan.

“Marilah kita bersatu mara ke hadapan, bertaawun dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan, bertasamuh dalam perbezaan agama, kaum dan politik, laksana ‘biduk berlalu kiambang bertaut, membujur lalu melintang patah’,” katanya lagi.

Loading...