9 Tentera Somalia Maut Serangan Bom Militan

MOGADISHU – Sembilan tentera Somali termasuk dua jeneral terbunuh dalam letupan di pinggir ibu negara semalam.

Kumpulan militan Islam Al Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan dengan berkata, mereka memusnahkan sebuah trak yang membawa dua jeneral dan tujuh pengawal di perkampungan Dhanaane, tengah hari semalam.

Jurucakap operasi tentera Al Shabaab, Abdiasis Abu Musab berkata, dua jeneral yang terbunuh itu dikenali sebagai Omar Aden dan Abdi Ali.

“Kami memusnahkan kenderaan yang mereka naiki menggunakan bom di tepi jalan perkampungan Dhanaane,” katanya.

Seorang pegawai tentera dikenali sebagai Kapten Mohamed mengesahkan kematian dua jeneral dan sembilan pengawal mereka manakala beberapa lagi penumpang trak berkenaan turut tercedera.

Al Shabaab sebelum ini terbabit dalam menentang kerajaan Somalia yang mendapat sokongan Barat sejak sekian lama dan menguatkuasakan undang-undang sendiri berasaskan sistem perundangan Syariah.

Somalia berdepan masalah keselamatan dan ketiadaan undang-undang sejak awal tahun 1990. – Reuters/BH ONLINE

Loading...