14 Kes Tahanan Reman Berkaitan PKP

PUTRAJAYA – Sebanyak 14 kes tahanan reman didaftarkan di mahkamah bagi kesalahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas termasuk mengingkari perintah kawalan pergerakan dan perhimpunan.

Mengikut statistik pendaftaran kes di mahkamah, bermula 19 Mac sehingga semalam, 14 kes telah dicatatkan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor, dua kes di Wilayah Persekutuan serta masing-masing tiga kes di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Sebanyak 10 kes tahanan reman mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas polis, telah didaftar di mahkamah di mana tiga kes telah dituduh iaitu masing-masing satu kes di Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), daripada 10 kes itu, dua orang telah mengaku bersalah masing-masing di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor dan Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak.

Kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM5,000 atau masing-masing 12 dan 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap seorang tertuduh yang mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Selain itu, empat lagi kes reman adalah bagi membantu siasatan mengikut beberapa seksyen iaitu – satu kes reman bagi kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan fitnah jenayah) atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dua kes tahanan reman bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengeluarkan perkataan atau isyarat mengaibkan kehormatan seseorang atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan satu kes reman bagi kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 iaitu mengingkari perintah kawalan pergerakan dan perhimpunan.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP dari 18 hingga 31 Mac di seluruh negara untuk membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Loading...