Sindiket Edar Dadah Tumpas Dengan Penahanan 4 Lelaki, 2 Wanita

NUSAJAYA – Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat lelaki dan dua wanita serta merampas dadah bernilai lebih RM55,000 dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed berkata penahanan terhadap kesemua rakyat tempatan berumur 30 hingga 40 tahun itu dilakukan mulai 9 malam, selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

“Polis terdahulu menahan seorang wanita di dalam sebuah kereta di satu kawasan di bandar raya ini dan susulan daripada itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini, lalu menahan empat lelaki serta seorang wanita,” katanya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah disyaki heroin seberat 1,234.67 gram, 53.67 gram syabu serta 80 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM55,547.45.

Beliau berkata kesemua dadah terbabit mampu menampung 1,300 orang penagih dan dipercayai kegiatan pengedaran dadah itu bergiat aktif di sekitar bandar raya ini sejak dua tahun lepas.

Katanya polis turut menyita tiga buah kenderaan membabitkan Perodua MyVi, sebuah Proton Gen-2 serta sebuah Perodua Viva dengan anggaran sitaan RM100,000.

“Kesemua yang ditahan itu didapati positif dadah dengan empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes curi kereta di sekitar Nusajaya dengan penahanan empat lelaki di Jalan Kangkar Pulai, di sini, petang semalam.

Beliau berkata kesemua yang berumur antara 20 dan 21 tahun itu ditahan pada 6.30 petang selepas polis membuat pemerhatian ke atas dua buah kereta dipercayai dicuri, di jalan itu.

“Ketika polis membuat pemerhatian dari jauh selama sejam terhadap kedua-dua kereta itu, muncul sebuah kereta dinaiki empat lelaki dan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri kereta-kereta berkenaan,” katanya.

Menurut Noor Hashim, pihaknya kemudiannya menghampiri kesemua lelaki terbabit dan berjaya menahan empat daripada mereka, namun, dua lagi lelaki yang menaiki motosikal berjaya melarikan diri.

Susulan penahanan itu, polis merampas lima telefon bimbit, peralatan disyaki untuk mencuri kereta, sebuah perodua Kancil, sebuah Proton Waja, sebuah motosikal Suzuki RG serta sebuah Proton Wira, katanya.

Beliau berkata, kesemua lelaki itu yang dipercayai menggunakan kunci allen untuk mengumpil pintu dan menghidupkan enjin, mengaku terlibat dengan lima kes curi kenderaan di sekitar Nusajaya.

Katanya, kesemua mereka kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. – BERNAMA

 

Leave a Reply