Samsung Lancar Galaxy S8 Dan S8 Plus Baharu

PETALING JAYA – Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd hari ini melancarkan telefon pintar terbaharunya, Galaxy S8 dan S8 Plus, yang dilengkapi dengan pengimbas iris, sistem pengenalan keselamatan biometrik dipertingkat.

Naib Presiden Unit Mudah Alih dan Perniagaan Teknologi Maklumatnya, Lee Jui Siang berkata pengimbas iris itu membolehkan pengguna membuka kunci telefon mereka hanya dengan menjajarkan mata mereka dengan bulatan berkembar di skrin telefon.

“Ia pantas, sangat boleh dipercayai dan mudah untuk digunakan,” katanya selepas melancarkan telefon pintar itu di sini, hari ini.

Beliau berkata jualan pra-tempahan bagi Galaxy S8 and S8 Plus empat kali ganda lebih tinggi daripada Galaxy S7 yang dilancarkan pada April tahun lepas.

“Kami membuka pra-tempahan di semua kedai sah Samsung kira-kira dua minggu lalu dan kami juga menjalankan kempen pra-tempahan dalam talian. Semua unit yang diperuntukkan terjual dalam masa tiga hari,” katanya, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar jualan pra-tempahan itu.

Telefon pintar itu juga tampil dengan skrin yang lebih lebar, menyediakan lebih kepuasan kepada pengguna untuk menonton video dan wayang gambar atau bermain permainan.

Harga runcit Galaxy S8 and S8 Plus masing-masing ialah sebanyak RM3,299 dan RM3,699, dan boleh dibeli di semua kedai Samsung Experience Stores dan peniaga sah di seluruh negara bermula esok (Sabtu). – BERNAMA

Loading...