PM Iraq Arah Pesalah Militan Dihukum Mati Segera

PERDANA Menteri Iraq, Haider Al-Abadi mengarahkan hukuman mati ke atas ratusan pesalah anggota kumpulan militan dilaksanakan segera sebagai tindak balas terhadap pembunuhan lapan tahanan Daesh.

Menurut pejabatnya, Haider yang berdepan tuduhan kerana gagal menangani isu militan Daesh, mengarahkan hukuman mati itu dilaksanakan segera terutama ke atas anggota militan yang sudah melepasi tempoh hukuman ditetapkan iaitu merujuk kepada mereka yang gagal dalam proses rayuan.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan hukuman gantung beramai-ramai itu tidak diumumkan.

Menurut sumber kehakiman, sehingga April lalu, lebih 300 individu termasuk kira-kira 100 wanita warga asing dijatuhi hukuman mati di Iraq, manakala ratusan dikenakan hukuman penjara seumur hidup termasuk anggota militan Daesh.

Sebahagian besar dari wanita terbabit ialah warga Turki atau dari negara bekas republik Soviet, sementara lelaki rakyat Russia dan warga Belgium turut dijatuhi hukuman mati.

Semalam, Haider berjanji untuk bertindak balas terhadap kematian lapan individu yang ditahan militan Daesh iaitu sehari selepas mayat mereka ditemui di tepi sebuah lebuh raya di utara Baghdad.

“Pihak keselamatan dan pasukan tentera kita akan mengambil langkah sewajarnya terhadap tindakan pengganas ini.

“Kami berjanji bahawa kami akan menahan atau membunuh mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah ini,” katanya kepada menteri dan pegawai kanan tentera. – AFP/myMetro Online

Loading...