Pelajar Berwawasan Lebih Disiplin, Bertanggungjawab

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah para pelajar perlu menetapkan wawasan mereka agar mampu mendidik diri menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan.

Baginda bertitah dengan itu, mereka juga akan menjadi lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melaksanakan aktiviti seharian agar ia seimbang.

“Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih faham akan hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dan kecewa dengan (cabaran) kehidupan yang dilalui.

Dengan itu, pelajar terhindar daripada sifat malas serta menangguhkan kerja mahupun usaha,” titah baginda sempena program Titian Kasih Mega di sini hari ini.

Baginda bertitah, wawasan juga berhubung kait dengan pegangan agama seseorang, justeru pelajar diingatkan agar sentiasa mematuhi ajaran agama masing-masing.

“Untuk menjadi pelajar yang bermentaliti kelas pertama dalam tindakan, pelajar itu haruslah menjadikan agama sebagai panduan hidup kerana agama mengajak manusia kepada kebaikan dan menjaga umatnya supaya tidak mudah terpesong daripada matlamat sebenar dalam kehidupan,” titah baginda.

Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang melibatkan sekolah-sekolah di Perlis bertujuan mewujudkan hubungan mesra antara Raja dengan rakyat di samping memberi pendedahan kepada pelajar tentang isu-isu semasa. – BERNAMA