Operasi Masyair Tamat, Berjalan Lancar

MAKKAH – Operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji, berakhir secara rasmi malam tadi, setelah kesemua jemaah haji Malaysia yang berada di Mina kembali semula ke Makkah, lewat petang Isnin.

Ketika mengumumkan perkara itu selepas solat Isyak di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini malam tadi, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata operasi berkenaan berjalan lancar dan baik.

“Alhamdullilah, Operasi Masyair ini dapat dilaksanakan dengan baik. Selaku Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, saya dengan lafaz membesarkan Allah SWT, mengisytiharkan Operasi Masyair bagi musim haji 1438 Hijrah ditamatkan sepenuhnya,” kata beliau.

Pengumuman beliau di hadapan petugas Tabung Haji itu, turut didengar secara langsung melalui sistem peralatan komunikasi Bravo, yang digunakan petugas di beberapa lokasi sekitar Tanah Suci ini.

Masyair ialah kawasan bermulanya ibadah haji di luar kota Makkah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina, sebelum jemaah haji kembali ke Makkah untuk tawaf, saie dan tahlul.

Syed Saleh berkata pergerakan bas membawa jemaah haji Malaysia itu bermula 6.59 pagi dan berakhir pada 5.57 petang semalam, membabitkan lebih 600 bas.

“Mulai 6.59 pagi hari ini (semalam), bas pertama telah bergerak dari Mina menuju ke Makkah dan bas terakhir meninggalkan Mina adalah pada 2.20 petang.

“Dengan tempoh perjalanan keseluruhannya 10 jam 57 minit, ia pergerakan yang lancar kerana sebelum ini saya menjangkakan kesemuanya akan hanya dapat diselesaikan pada 8 atau 9 malam,” katanya.

Beliau berkata kejayaan operasi berkenaan adalah berkat usaha kerja berpasukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua petugas Tabung Haji, serta dengan izin Allah SWT.

“Petugas Operasi Masyair telah melakukan pemeriksaan terperinci, melihat dan menyemak semua kawasan termasuk khemah penginapan, lorong-lorong serta laluan ke Kompleks Jamrah dan mengesahkan tiada lagi jemaah haji Malaysia berada di bumi Mina pada 3.20 petang (semalam),” katanya.

Syed Saleh seterusnya berkata pihaknya juga berjaya melaksanakan aktiviti ’Safari Wukuf’’ yang membawa 86 jemaah yang sakit dengan menggunakan enam bas dan tiga ambulans, membolehkan mereka melakukukan wukuf selama kira-kira dua jam.

“Tahun ini juga buat pertama kalinya kita berjaya melaksanakan program warga emas dengan membawa mereka terus dari Arafah ke Makkah, dan tidak berada di Mina. Operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya menggunakan dua bas khas,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah dan petugas Tabung Haji yang menunjukkan pengorbanan luar biasa dalam menyantuni ‘dhuyufurrahman’ (tetamu Allah) pada musim haji ini.

Sementara itu, penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji Malaysia ke tanah air ​​​​​akan berlepas mulai Rabu (6 Sept) secara berperingkat melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah.

Kumpulan jemaah berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Khamis. – BERNAMA

Loading...