Chew Letak Jawatan Pengurus Besar BAM – Norza

KUALA LUMPUR – Lawrence Chew sah meletakkan jawatannya sebagai Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas bersama pengurusan tertinggi badan induk itu selama lebih setahun.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan perkara itu berkata BAM akan mengiklankan kekosongan jawatan Pengurus Besar pada minggu depan bagi mencari pengganti Chew yang telah menyerahkan surat perletakan jawatannya semalam.

“Lawrence (Chew) mendapat tawaran lebih baik daripada organisasi lain, maklumat lanjut tentang jawatan Pengurus Besar itu akan diuruskan oleh Setiausaha Kehormat BAM Datuk Ng Chin Chai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Chew memulakan tugas bersama BAM pada 19 Januari tahun lepas bagi menggantikan Kenny Goh, yang menerima tawaran sebagai Ketua Pegawai Operasi Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Persatuan Badminton Switzerland, selain dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Chew berkata beliau telah berkhidmat selama 16 bulan bersama BAM dan akan meninggalkan Malaysia sekali lagi untuk mencari peluang di negara Asia yang lain.

Selepas meninggalkan Malaysia selama 30 tahun, beliau kembali ke sini untuk mempelajari budaya badminton Asia.

“Saya meletakkan jawatan ini secara baik dan saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana memberi saya peluang ini. Pengalaman saya di Malaysia adalah berharga dalam mempelajari budaya Asia. Ia mungkin dalam masa yang singkat di Malaysia tetapi ia berhasil,” katanya kepada Bernama.

Saya rasa saya berjaya membawa aspek positif ke dalam BAM dalam perkara yang berkaitan acara, struktur kejohanan, penjenamaan dan pendidikan jurulatih,” katanya. – BERNAMA

Loading...