Bukit Durian Tarikan Baharu Gua Musang

GUA MUSANG – Bukit Durian setinggi 260 meter di Bandar Utama di sini menjadi destinasi terbaharu penduduk daerah ini untuk melakukan aktiviti senaman dan beriadah.

Sejak dibuka hampir setahun lalu oleh pemaju perumahan Bandar Utama, kawasan Bukit Durian sentiasa dipenuhi orang ramai terutamanya waktu hujung minggu untuk melakukan aktiviti gaya hidup sihat seperti bersenam dan mendaki bukit.

Seorang penduduk, Azura Jusoh, 48, berkata, selain mempunyai kawasan trek untuk berjoging, Bukit Durian juga menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan aktiviti mendaki dan berbasikal.

“Bukit Durian adalah sesuai untuk beriadah keluarga kerana kawasannya bersih, selamat dan bukitnya sesuai untuk aktiviti mendaki yang boleh dinaiki oleh semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak.

“Pada hari minggu terutamanya Jumaat dan Sabtu di kawasan ini macam pesta,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azlina Wahab, 50, yang tinggal di Taman Wangi pula berkata, setiap hari dia bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang untuk mendaki Bukit Durian.

Katanya, penduduk Gua Musang telah menjadikan aktiviti mendaki di bukit itu sebagai hobi baharu mereka untuk menjaga kesihatan. – BERNAMA