Ahli Parlimen PKR Dipanggil Polis Sebar Fitnah Majalah TIME

ALKISAH tidak serik atau sengaja cari penyakit berkongsi apa yang kita tidak tahu ‘hujung pangkal’, lebih malang lagi apabila yang buat kerja ‘share‘ tanpa periksa di media sosial ini ialah pemimpin politik yang ada kedudukan.

Begitulah ceritanya melibatkan Ahli Parlimen PKR Subang, R. Sivarasa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia susulan tindakan pantas berani beliau sengaja menyebarkan poster yang nyata berunsurkan fitnah mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak konon dengan isu penyelewengan menerusi laman sosial tempatan.

Sivarasa dilaporkan tiba di perkarangan IPD Dang Wangi di sini pada pukul 11.15 pagi Jumaat dengan ditemani peguamnya, menurut laporan disiarkan oleh beberapa portal berita tanah air prokerajaan dan antikerajaan.

Beliau sebelum ini memuat naik menerusi akaun Facebook miliknya satu gambar palsu muka depan sebuah majalah antarabangsa TIME yang memaparkan wajah Perdana Menteri bertajuk pemimpin negara paling rasuah.

Setelah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan, Sivarasa memberitahu media bahawa beliau konon tidak tahu-menahu bahawa poster dikongsi tersebut sebenarnya adalah palsu dan sudah ‘menurunkannya’ selepas itu.

sivaraja

Pada Khamis, sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) meminta polis agar mengambil tindakan terhadap Sivarasa dan ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin kerana memfitnah Najib.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, kedua-dua pemimpin pembangkang itu telah memuat naik gambar dengan kenyataan yang jelas berbaur fitnah melalui laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing pada 23 Mac.

Mereka muat naik gambar Perdana Menteri yang diedit muka depan TIME dengan kenyataan fitnah, pihak kami telah buat semakan ke atas majalah itu keluaran terkini dan mendapati ia tidak benar sama sekali,” kata beliau.

Ramesh menyatakan demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di IPD Petaling Jaya, Selangor. Turut hadir ialah Timbalan Presiden PMSP, Zakwan Hafiz Ahmad Ansari.

Beliau turut meminta pihak SKMM untuk segera menyiasat kedua-dua pemimpin PKR berkenaan yang boleh disabitkan kesalahan jenayah siber mengikut Seksyen 233 (1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka telah menyebarkan maklumat dan gambar yang ada unsur fitnah dan hasutan… ini modus operandi pihak pembangkang mahu memburukkan keadaan, ia tidak boleh dibiarkan,” tegasnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA