Cerita Di Sebalik RM Yang Tiada Siapa Nak Tahu

KETIKA artikel ini baharu ditulis pada 26 Ogos, kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) sudah mencecah ke paras tertinggi sejak tahun 1998, iaitu paras RM4.27 untuk perbandingan setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS).

Kejatuhan RM ini tetap berlaku walaupun terdapat ulasan positif daripada pelbagai juruanalisa berpengalaman yang menyatakan bahawa ringgit tidak akan mencecah kadar tukaran RM4 untuk setiap AS$1 pada tahun 2015.

Apabila ia melepasi paras RM4 bagi AS$1, banyak respon negatif daripada pengguna laman sosial mengatakan tentang keburukan kejatuhan mata wang tempatan seolah-olah Malaysia kini berada di ambang krisis ekonomi.

Namun bagi yang belajar dan faham mengenai asas ekonomi, sebenarnya kejatuhan RM sahaja bukanlah suatu petanda kukuh untuk menyatakan Malaysia akan terjerumus mengalami krisis iktisas dalam masa terdekat.

Antara faktor lain yang perlu kita ambil kira adalah pertumbuhan KDNK negara, kadar eksport naik atau jatuh, kadar import tumbuh positif atau negatif, imbangan akaun semasa lemah atau kukuh, dan banyak sebab lagi.

Secara kebetulan sehari sebelum RM jatuh ke paras terendah, tidak ramai tahu mata wang jiran kita, Indonesia pun jatuh paling teruk dalam sejarah iaitu 14,000 rupiah bagi setiap AS$1, rekod terendah sejak 17 tahun.

Ini memaksa Presiden Indonesia, Joko Widodo memanggil mesyuarat tergempar di Istana Bogor yang dihadiri semua pakar ekonomi terbaik republik itu selain Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Indonesia.

Ironi, tiada siapa pun waima pembangkang mengambil kesempatan bagi menyalahkan Bapak Jokowi yang kebetulan baharu sahaja melakukan rombakan jemaah Kabinet kurang setahun beliau menjadi presiden.

Sebaliknya mereka menyifatkan kejatuhan terburuk rupiah disebabkan faktor luaran yang bukan di bawah kawalan Indonesia sendiri biarpun hasil buminya mewah dengan sumber minyak, getah dan kelapa sawit.

Jika diperhatikan, kebetulan juga rupiah pernah jatuh paling dahsyat semasa krisis ekonomi pada 1998 iaitu 14,200 rupiah untuk AS$1 menyaksikan kebangkitan rakyat dan ‘tumbangnya’ allahyarham Presiden Suharto.

Walhal sebelum itu mata wang tersebut diniagakan 8,455 rupiah untuk AS$1 dan kebetulan tahun 1998 juga, ringgit merudum paling dahsyat iaitu RM4.70 bagi setiap AS$1 berbanding RM2.90 ketika zaman gemilangnya.

Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat timbalan beliau, yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim kerana terlalu ikut ‘telunjuk’ nasihat Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Semua pasti tahu cerita ‘sejarah’ itu dan anehnya tiada siapa pun khususnya parti pembangkang mahu mengimbau kembali detik azab cemas era kejatuhan RM pada 1998 yang jauh lebih menakutkan berbanding zaman sekarang!

Adakah mereka terlupa, buat-buat lupa atau hipokrit demi kepentingan politik hanya kerana perasaan benci amat sangat pada BN yang memerintah dan sanggup menghasut rakyat terutama generasi muda turut sama marah?

Dalam hal ini penulis tertarik dengan pandangan seorang penulis ekonomi, Muhammad Nur Farhan disiarkan IRIS, sebuah institut pemikir tempatan yang terlibat dalam strategi penyelidikan pelbagai isu antarabangsa.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, dia membahagikan faktor kejatuhan RM kepada luaran dan dalaman yang amat jarang dikupas pemimpin pembangkang secara tuntas, bukan sekadar mengikut hati atau perasaan.

Baca: Ringgit Lemah Tapi 51 Mata Wang Lain Lagi Teruk

Juga: Alkisah Ringgit Apabila Bank Negara Bersin

Lagi: Lim Kit Siang Lupa Hentam Anwar Menteri Kewangan ‘Bodoh’

Faktor Luaran 1 – Kejatuhan Harga Minyak Dunia

rm1

Pada 2014, harga minyak dunia mengalami kejatuhan mendadak apabila pada Januari, ia berada pada paras AS$106 setong dan secara beransur-ansur mengalami kejatuhan sehingga ke paras AS$50 setong pada hari ini.

Kejatuhan harga minyak dunia juga adalah disebabkan oleh masalah permintaan dan bekalan yang mana terdapat lebihan minyak yang dihasilkan oleh negara pengeluar minyak dunia tetapi kurang pula permintaan.

Gergasi ekonomi dunia, AS dalam tempoh 5 tahun ini telah berjaya mengeluarkan minyak cukup untuk kegunaan domestik, lantas mengurangkan kebergantungan kepada OPEC sebagai badan pembekal utama minyak dunia.

Manakala ekonomi kedua terbesar dunia, China sedang mengalami situasi kelembapan ekonomi menyebabkan bekalan minyak dunia melebihi permintaan seterusnya menekan harga ke paras bawah dengan lebih teruk.

Apabila berlakunya kejatuhan harga minyak dunia, ia memberi impak negatif kepada matawang komoditi seperti ringgit yang bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah sebagai sumber utama perbendaharaan negara.

Disebabkan Malaysia bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah, terutamanya sumber petroleum maka nilai RM cenderung untuk bergerak selari dengan pergerakan harga minyak mentah antarabangsa.

Selain penurunan harga minyak, kejatuhan harga komoditi lain seperti minyak sawit mentah dan getah turun memberi kesan terhadap RM kerana Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar dunia selepas Indonesia.

Faktor Luaran 2 – Jangkaan Kadar Faedah AS

rm2

Kadar faedah adalah salah satu dasar mata wang yang sering digunakan untuk mempengaruhi keseluruhan aktiviti dalam ekonomi bagi memastikan kadar permintaan dan bekalan mata wang berada pada paras yang stabil ideal.

Daripada carta di atas, kita dapat lihat bahawa kadar yang dikenakan oleh The Federal Reserves of US (The Fed) atau Perbendaharaan Persekutuan AS makin menurun dari 2006 dan pada 2009 kadarnya adalah hampir 0%.

Apa yang berlaku pada tempoh tersebut sebenarnya adalah salah satu tindakan yang diambil oleh The Fed untuk membangunkan ekonomi AS yang kebetulan sebelum itu lumpuh akibat Krisis Ekonomi Dunia pada tahun 2008.

Namun sampai hari ini, The Fed masih tidak menaikkan kadar faedah kerana data aktiviti ekonomi domestik AS tidak baik dan jika kadar naik secara tergopoh gapah akan menyebabkan ekonomi AS jatuh ke dalam krisis.

Sejak awal tahun ini, The Fed mula beri petunjuk untuk menaikkan kadar faedah menerusi analisis berkala situasi ekonomi AS dan membuat keputusan sama ada naik atau biarkan untuk satu tempoh yang belum diketahui.

Apabila The Fed memberikan petunjuk tersebut, maka pelabur dari luar AS yang sedang memegang Europe and Japanese low yielding bonds, akan beralih kepada bond AS kerana ia memberi pulangan yang lebih baik.

Ini menyebabkan hampir semua mata wang negara lain di dunia jatuh tetapi dolar AS pula semakin kuat. Justeru secara mudah, fenomena kejatuhan RM ini bukanlah disebabkan oleh faktor kelembapan ekonomi Malaysia.

Sebaliknya ia disebabkan oleh faktor rangsangan dari jangkaan kenaikan kadar faedah oleh The Fed. Persoalan samada The Fed akan benar-benar menaikkan kadar adalah soalan yang tidak diketahui jawapannya.

Ini kerana terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira oleh The Fed, antaranya, jika kadar faedah naik, maka kos peminjaman di bank akan meningkat dan bakal menyebabkan operasi syarikat menjadi tidak kompetitif.

Ada juga kemungkinan kadar pengangguran semakin bertambah selepas kenaikan kadar faedah kerana syarikat akan menghadapi kenaikan dalam kos pengoperasian lantas mengambil tindakan untuk memberhentikan pekerja.

Setakat ini data kadar pengangguran di AS masih tiada tanda positif. Bursa saham AS juga akan terjejas kerana banyak syarikat di pasaran saham AS adalah Multinational Corporation (MNC) yang ada operasi di seluruh dunia.

Dengan eksport semakin tidak kompetitif, penganalisis Wall Street menjangkakan pendapatan MNC makin berkurangan. Apabila dolar AS kuat, ia menyebabkan eksport AS jadi mahal dan permintaan produk AS kurang.

Perbandingan antara negara Asia dengan Dolar AS – majoriti negara turut terkesan

Di sini jelas kita dapat lihat bahawa mata wang negara di Asia juga mengalami kejatuhan dan semua adalah negara yang ekonominya jauh lebih besar daripada Malaysia iaitu Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Indonesia.

Secara ringkas, situasi yang dihadapi oleh Malaysia adalah sama seperti negara-negara lain kerana penyumbang terbesar kejatuhan mata wang RM adalah faktor luaran iaitu jangkaan kenaikan kadar faedah AS oleh The Fed.

Faktor dalaman – Fitch negative outlook

Credit rating agency adalah agensi bertanggungjawab menetapkan penarafan hutang dengan menentukan keupayaan penghutang bayar balik kredit dengan membuat bayaran berkala atau kebarangkalian untuk bankrap.

Terdapat tiga agensi penarafan kredit terbesar antarabangsa yang juga disebut The Big Three membuat penetapan credit rating setiap negara di dunia selain menjadi rujukan The Fed iaitu Moody’s, Standard & Poor dan Fitch.

Pada Julai 2014, salah sebuah agensi, Fitch telah membuat semakan semula rating outlook Malaysia daripada stabil kepada negatif. Antara punca utama adalah disebabkan oleh bajet defisit diamalkan oleh kerajaan Malaysia.

Ia telah mencecah 53.3% per KDNK pada hujung tahun 2012. Fitch berpendapat bahawa agak sukar kerajaan Malaysia mencapai target interim 3% defisit untuk tahun 2015 sekiranya tiada tindakan konsolidasi diambil.

Semakan semula Fitch terhadap outlook Malaysia membawa maksud secara tidak langsung bahawa ekonomi Malaysia tidak kukuh pada waktu itu dan boleh terdedah kepada risiko external shock atau kejutan luaran.

Kerajaan Malaysia kemudian mengumumkan untuk mengambil tindakan rasionalisasi subsidi dalam usaha untuk mencapai target defisit yang ditetapkan termasuk memperkenalkan sistem harga minyak secara apungan terkawal.

Ini bermakna harga runcit minyak diselaraskan mengikut purata harga minyak mentah pada bulan sebelumnya. Selain itu, kerajaan juga segera ambil langkah proaktif dengan membuat penyelarasan semula Bajet 2015.

Justeru pada Januari 2015,  pengurangan bajet kerajaan secara drastik sebanyak RM5.5 bilion telah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia.

Hasilnya pada Julai 2015, Fitch mengumumkan bahawa outlook untuk Malaysia telah disemak semula daripada negatif kepada stabil disebabkan langkah rasionalisasi subsidi dan perlaksanaan GST oleh pihak kerajaan.

Dua tindakan pantas kerajaan Malaysia itu bakal menunjukkan kesan yang positif dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara dalam jangka masa panjang, sesuatu yang tidak diketahui banyak pihak selama ini.

Sungguhpun Fitch memberikan negative outlook kepada Malaysia tahun 2014, dua agensi lain; Standard & Poors dan Moody’s berbeza pendapat dengan menyatakan outlook Malaysia masih lagi pada tahap yang stabil.

Sejauh mana impak yang dibawa oleh tindakan Fitch terhadap ramalan unjuran ekonomi Malaysia di mata pelabur asing tidak dapat ditentukan, namun penulis berkenaan berasa yakin impaknya hanya bersifat minimum.

Tambatan Matawang Ringgit kepada Dolar AS

Terdapat cadangan untuk menambat RM kepada dolar AS apabila melihat kadar tukaran mencecah angka RM4 untuk setiap AS$1, namun adakah cadangan itu sebenarnya dapat menyelesaikan masalah kejatuhan ringgit?

Apabila RM ditambat, ia tidak bermakna mata wang itu tidak akan jatuh lagi, tetapi ia akan menyebabkan Bank Negara Malaysia terikat mempertahankan RM daripada naik atau jatuh dengan melakukan transaksi jual dan beli.

Sekiranya mata wang kita semakin menaik berbanding mata wang luar, maka BNM pula ada tanggungjawab untuk menjual ringgit demi mengurangkan kesan kenaikan RM dan supaya RM kembali kepada harga asal tambatan.

Ini tidak menjadi masalah kerana BNM hanya perlu jual mata wang domestik. Namun apabila RM makin menurun seperti masa sekarang, BNM perlu mempertahankan tambatan ringgit dengan membeli banyak mata wang asing.

Ini menggunakan foreign reserves atau simpanan asing yang dimiliki BNM dan menguatkuasakan capital control atau kawalan modal. Realitinya pembelian menggunakan stok reserves akan menyebabkan masalah yang besar.

Ini kerana foreign reserves yang dimiliki oleh BNM akan susut dengan kadar yang amat pantas, bergantung kepada volatility tukaran mata wang asing. Maka kaedah tambatan RM nyata tidak praktikal buat masa ini.

Secara logik asasnya, pelaksanaan tambatan juga tidak perlu susulan ekonomi Malaysia masih lagi kukuh dengan kadar pertumbuhan suku kedua 2015 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9%, melebihi sasaran 4.5%.

Dengan kejatuhan RM, pasaran domestik akan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negara selain menjadikan barangan eksport Malaysia ke seluruh dunia jauh lebih murah berbanding barangan import daripada AS.

Seperti yang dibincangkan di atas, faktor luaran sebenarnya yang lebih banyak mempengaruhi pasaran mata wang antarabangsa, jadi dengan cara tambatan RM, kita tidak pula menyelesaikan masalah asal kejatuhan ringgit.

Nilai rendah RM kini disebabkan oleh isu bekalan dan permintaan minyak dunia serta spekulasi isu kenaikan kadar interest oleh The Fed yang dijangka diumumkan pada suku ketiga dan keempat 2015. – Mynewshub/HAA