Tangkak : Polis mencari seorang wanita, Nur Haziqah Hamidi yang menjadi saksi penting bagi perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan berkaitan ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, wanita berusia 25 tahun itu sepatutnya hadir perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pada 7 dan 8 September ini, namun gagal dihubungi.
Beliau berkata, saksi telah gagal dihubungi sejak dua tahun lalu bersabit dengan satu kes pemerasan, melalui laporan yang dibuat di Balai Polis Bukit Gambir, dekat sini.
“Kami mengharapkan orang ramai yang mengenali saksi agar dapat memberitahunya agar saksi dapat hadir ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fadhil berkata sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Intan Norathirah Mohd Suhaidi di talian 016-988 3520.
-Harian Metro


