KAJANG : Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ini kerana, banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) mahupun kerajaan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata proses pemutihan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu akan memudahkan pelaksanaan sebarang projek pembinaan sekolah, sekali gus menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Selain itu, katanya, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutama membabitkan sebarang kelulusan berkaitan pengurusan berkenaan.
“Kerjasama dengan PBT juga antara perkara ditekankan. Kadang-kadang (isu pengambilan tanah) selesai tetapi sangkut di PBT. Ada perkara yang kita perlu duduk dan bincangkan bagi memastikan perkara ini tak menjadi penghalang kepada pembinaan sekolah.
“Banyak perkara membabitkan pelbagai kelulusan dan kelemahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 diambil kira bagi memastikan ia tidak menjejaskan pembangunan infrastruktur berkaitan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini, hari ini.
Beliau mengulas LKAN 2021 Siri 1 yang mendapati pengurusan projek pembinaan sekolah kurang cekap dan kurang berkesan, berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baharu antara 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Ia dikesan susulan berlaku kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek KPM, perunding dan kontraktor, selain masalah koordinasi dengan kerajaan negeri, PBT dan syarikat utiliti serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.
-Berita Harian


