KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,386 unit rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) masih belum terjual setakat ini, dengan nilai pasaran kesemua rumah tersebut berharga RM2 bilion.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ini meskipun sebanyak 36,751 unit rumah PR1MA sudah dijual hasil inisiatif kerajaan untuk menurunkan bilangan rumah yang tidak terjual.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib menyifatkan, penjualan rumah PR1MA masih berada dalam keadaan baik di pasaran ketika ini.
“Kita mengambil pelbagai pendekatan supaya rumah-rumah ini dapat dijual antaranya sewa untuk dibeli (rent to own) dan akhirnya dimiliki oleh pemilik.
“Walaupun bayar sewa pada awalnya, insya-Allah kita akan terus agresif dengan tindakan bagi memastikan rumah-rumah ini dapat dijual,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berhubung jumlah rumah PR1MA yang masih tidak terjual dan nilai pasarannya ketika ini serta kadar faedah yang mungkin perlu ditanggung jika tidak dijual selama empat hingga ke lima tahun.
Selain PR1MA, Ismail memaklumkan, sebanyak 35,592 unit rumah siap dibina di seluruh negara tidak terjual bernilai RM22.45 billion, berdasarkan data dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi data awalan suku pertama tahun 2022.
“Ini menunjukkan terdapat sedikit penurunan berbanding suku keempat tahun 2021 iaitu sebanyak 36,863 unit rumah siap dibina tidak terjual yang bernilai RM22.79 billion,” katanya.
“Namun, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) telah berjaya menjual sebanyak 117,538 unit rumah dengan nilai jualan berjumlah RM92.5 bilion dan melibatkan diskaun sebanyak RM15.8 bilion,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan rumah yang tidak terjual adalah strategi pemaju bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya menjual rumah kepada warga asing demi mengaut keuntungan ekoran ketidakstabilan mata wang negara.
“Kita memang tak benarkan rumah kita (mampu milik) diberikan kepada pekerja asing, bahkan mereka sewa pun kita akan ambil tindakan. Sebab itu kita ada pihak pengurusan perumahan, kita pastikan rumah yang kita bina diperoleh oleh rakyat tempatan.
“Kita juga akan pastikan penyelewengan terhadap pemilikan dan sebagainya, akan ada tindakan dan usaha-usaha kemaskini terhadap pemaju termasuklah menyenaraihitamkan atau batalkan lesen pemaju dalam kerja-kerja pembinaan rumah, sama ada melibatkan kementerian atau perumahan lain kerana mereka terpaksa daftar dengan kita,” katanya.
UtusanOnline-
![[Parlimen] Lebih 10,000 Rumah PR1MA Masih Tidak Terjual](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/07/NSE_ProjekPR3MA-re.jpg)
