Tuaran : Kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri berkata, peratusan itu menunjukkan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini adalah seramai 585,000 orang, menurun berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Bertemakan ‘Ini Masa Kita’, sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, menyediakan pelbagai acara antaranya sukan bola jaring, badminton, silat, pameran, Karnival Kerjaya Belia dan Forum Ad-Deen.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan angka pengangguran belia terus menurun, kerajaan antara lain melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.
Beliau berkata, usaha itu merupakan strategi bagi meningkatkan pembabitan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.
Menurutnya, sejumlah 8,000 usahawan muda sudah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.
“Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini. Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.
“Penglibatan belia dalam agromakanan akan diperkasa melalui program Agro Job Fair di MAHA 2022 bulan depan. yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat yang menyertainya. Saya menyeru graduan berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini,” katanya.
Ismail Sabri berkata, hampir 21.4 peratus atau kira-kira tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia adalah belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berusia 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.
Beliau berkata, angka itu amat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara, justeru aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju untuk masa hadapan negara.
“Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘belia pencetus revolusi masa depan negara’,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 9,766 pertubuhan belia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), dan daripada jumlah itu 953 didaftarkan di Sabah, manakala 33 pertubuhan belia didaftarkan di Tuaran.
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program membabitkan golongan belia agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang membabitkan 500 mahasiswa daripada setiap 25 buah universiti awam dan swasta mulai bulan ini.
Beliau berkata, program Young Entrepreneurship Engagement Talent pula melahirkan usahawan francais atau pra-francais di bawah kementerian berkenaan, dan setakat ini ia menerima sebanyak 26 permohonan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lalu.
Menurutnya, Program Malaysia Techlympics oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga dijangka mendapat penyertaan satu juta anak muda yang dapat memupuk minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Program ini bertujuan mencungkil bakat muda seawal tujuh tahun sehingga 30 tahun dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik, kod, dron dan juga bidang teknologi,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan suara belia terus didengari dan memainkan peranan dalam pembangunan negara, kerajaan bersetuju untuk melantik seorang dalam kalangan belia sebagai Ahli Dewan Negara.
“Saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan kita dengari secara terus daripada wakil belia itu…masa depan negara bergantung kepada anda warga belia semua dan diharap belia akan terus cemerlang,” katanya.
-Harian Metro


