GEORGE TOWN – Polis yakin dapat melumpuhkan sindiket penipuan gores dan menang membabitkan kerugian mencecah RM1.5 juta selepas menahan 17 individu pada Mac dan 18 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan penahanan tiga lelaki pada Mac tahun ini, polis menahan 14 lagi suspek pada 18 Mei lepas dalam serbuan di syarikat mereka yang beroperasi di Jalan Slim di sini.
“Hasil serbuan pada 2.50 petang itu, polis menemui senarai invois bayaran yang dibuat pelanggan, kupon peraduan gores dan menang serta fail mengandungi pelbagai gambar hadiah yang ditawarkan syarikat itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Polis percaya tangkapan kumpulan pertama dan kedua itu mempunyai kaitan kerana menggunakan modus operandi yang sama dalam lebih 30 kes penipuan yang dilapor di daerah Timur Laut sejak tahun ini, katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) awal tahun ini untuk menjalankan perniagaan menjual barangan elektrik. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=1GB59dnKqeE

