BAKU – Kebakaran sebuah pangsapuri 15 tingkat di bandar raya ini pada Selasa menyebabkan 15 terbunuh dan 64 cedera, kata pegawai kerajaan.
Pegawai Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya dua kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dalam kebakaran itu.
Dalam pada itu seorang pegawai berkata penggunaan bahan binaan berkualiti rendah termasuk penebat plastik di dinding dipercayai menjadi punca kebakaran besar itu.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. Bandar raya ini sedang melalui proses pembaharuan dan pembangunan pesat sejak beberapa tahun lalu apabila negara bekas Kesatuan Soviet ini mula menikmati hasil daripada peningkatan harga minyak.
Baku yang dihuni lebih dua juta penduduk, kini mula menyaksikan blok-blok kediaman dan bangunan era komunis dirobohkan dan digantikan dengan bangunan moden dan pencakar langit.
Program pembaharuan bandar raya itu bagaimanapun mendapat kecaman kumpulan aktivis kerana mendakwa ramai penduduk yang dipindahkan tanpa pampasan yang sepadan. – AFP
https://youtu.be/QjFaq3UoZmc

