KUALA LUMPUR – Kerajaan Pulau Pinang mendakwa telah menulis surat kepada kerajaan Persekutuan meminta supaya perkhidmatan kerajaan negeri itu dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Menterinya Lim Guan Eng mendakwa, kerajaan Pulau Pinang membuat permohonan pengecualian tersebut memandangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri bertitah bahawa GST ke atas perkhidmatan kerajaan negeri tidak masuk akal.
“Sultan Johor mengarahkan kerajaan Johor mendapatkan pengecualian GST untuk perkhidmatan mereka kepada orang ramai. Kerajaan Pulau Pinang pun telah menulis surat meminta pengecualian membayar GST.
“Adalah mengarut kerajaan negeri yang membina jalan raya, perparitan dan bangunan untuk faedah orang ramai perlu membayar GST,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Guan Eng mendakwa Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan memperoleh lebih banyak undi majoriti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini jika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Tabung Haji dibangkitkan lebih awal.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa, Wan Azizah boleh mendapat dua kali ganda undi majoriti sebanyak 8,841 yang diperoleh kerana isu 1MDB dan Tabung Haji membangkitkan kemarahan umat Islam.
– MYNEWSHUB.CC

