SHAH ALAM – Dua hari selepas pertuduhan ke atas syarikat miliknya digugurkan, pemilik Bendang Afwa Enterprise yang mengendalikan sebuah restoran di Setia Alam di sini dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas kapasiti individu bagi tuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Farah Jamiah Fikri, 35, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di Restoran Bendang beralamat di 47-G, Jalan Setia Indah X, U13/X, Setia Alam, Seksyen U13 di sini, pada 2.06 petang, 14 April lepas.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid turut menolak bantahan awal, peguam wanita itu Collin Arvind Andrew, berhubung tuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya.
Farah Jamiah sebagai orang berdaftar di bawah Akta GST 2014 yang membuat pembekalan bercukai, didakwa mengeluarkan sekeping invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir ditetapkan di bawah Seksyen 22, Peraturan-Peraturan GST 2014.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 33 (2)(b) Akta GST dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ahmad Azhari menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pertuduhan ke atas Farah Jamiah.
Mahkamah turut membenarkan wanita itu dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin.
Terdahulu, Collin memohon supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan atas alasan tuduhan dikenakan ke atasnya hari ini tidak berasas.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pula berkata pertuduhan ke atas Farah Jamiah adalah berasas memandangkan wanita itu bukanlah pihak sama dituduh pada Rabu lepas, sebaliknya yang didakwa ialah syarikatnya iaitu Bendang Afwa Enterprise.
“Farah Jamiah dan Bendang Afwa Enterprise ialah dua pihak berbeza. Mengenai isu ‘double jeopardy’ (didakwa atas tuduhan sama) berikutan OKS telah dilepas dan dibebaskan sebelum ini, kami berhujah semasa kes pertama dipanggil, pertuduhan tidak dibacakan dan juga tidak melalui sebarang proses pendengaran. Justeru, isu prejudis tidak timbul dan ‘double jeopardy’ terhadap OKS tidak berlaku dalam pertuduhan hari ini,” katanya.
Pada Rabu lepas (6 Mei), mahkamah sama melepas dan membebaskan Syarikat Bendang Afwa Enterprise yang diwakili Farah Jamiah, daripada tuduhan mengikut Akta GST selepas pihak pendakwaan menarik balik saman terhadap syarikat itu. – BERNAMA

