LONDON – Seorang bayi perempuan yang lahir menggunakan ibu tumpang akan dipisahkan daripada ibu kandungnya dan tinggal bersama ayahnya serta kekasih gaynya, demikian menurut keputusan Mahkamah Tinggi Britain.
Penghakiman itu dibuat bagi menyelesaikan pertikaian berhubung perjanjian hak penjagaan apabila bayi itu dilahirkan.
Lelaki yang mendermakan spermanya berkata, wanita tersebut telah bersetuju menjadi ibu tumpang untuk dia dan pasangan gaynya.
Namun, siibu pula berkata, pasangan gay itu bersetuju bahawa dia sepatutnya menjadi penjaga utama bayi berÂÂkenaan.
Dalam keputusannya, Hakim Alison Russel berkata, siibu telah memperdayakan pasangan gay tersebut apabila membuat persetujuan tidak formal berhubung hak penjagaan bayi itu yang kini berusia 15 bulan.
Beliau menyatakan bahawa wanita berkenaan berniat untuk memelihara bayi itu sejak dari mula lagi dan bukan menukar fikirannya semasa hamil.
Kes Mahkamah Tinggi itu didengar di London dan Birmingham awal tahun ini tetapi keputusannya baru disiarkan.
Ibu tumpang sah di sisi undang-undang Britain tetapi menjadi satu kesalahan untuk mengiklan perkhidmatan tersebut di negara berkenaan. – Reuters

