SEMALAM, wakil dari Familia MyVi Club (FMC) telah membuat kunjungan ke kediaman keluarga mangsa nahas kemalangan di Lebuhraya Duke arah Damansara, awal pagi Sabtu lalu.
Individu yang juga orang kuat FMC, Hairul Safuan bersama beberapa ahli kelab bertindak hadir melawat anak-anak mangsa atas keprihatinan serta tanggungjawab untuk memelihara hubungan baik.
Memetik kenyataannya dalam laporan Astro Awani, “Tujuan kami di sini adalah untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama kelab ini dan juga ahli-ahli lain yang tidak ada kena mengena dengan kemalangan tersebut.
[BACA: Pulak Dah.. Page FB ‘Keadilan Untuk Familia MyVi Club’?]
“Kami akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan menyokong agar pemandu yang menyebabkan kemalangan itu dihadapkan ke muka pengadilan.”
Bukan itu sahaja, kehadiran mereka di situ bagi membincangkan nasib dan masa depan dua beradik yang menjadi yatim piatu serta merta selepas kedua ibu bapa mereka maut bersama adik bongsu mereka berusia enam bulan.
Sementara itu, Hairul turut meminta pengguna laman media sosial tidak terus menyebarkan informasi berkenaan kemalangan tersebut sehingga menjejaskan nama baik kelab dan ahli-ahli yang tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.
“Kami menerima pelbagai ugutan dan kecaman di media sosial dan ini memberikan tekanan. Saya harap ramai orang dapat menilai perkara ini secara rasional dan tidak menghukum sebarangan, lebih-lebih lagi ke atas pihak yang tidak bersalah.”
Kejadian menyayat hati itu dikatakan berpunca dari tindakan enam buah Perodua MyVi yang berlumba sehingga menyebabkan sebuah pacuan empat roda Pajero Sport yang dinaiki sepasang suami isteri terlibat dalam kemalangan ngeri dan mengakibatkan mereka dan bayi berusia enam bulan tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
Astro Awani – Wakil FMC Beri Penjelasan


