KUALA LUMPUR – Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki menyuruh ahli veteran PAS Johor supaya tidak mengungkit kisah pengorbanan mereka di negeri itu.
Kata beliau, sebagai pejuang Islam, ahli PAS tidak boleh mengungkiti pengorbanan dan kesusahan mereka dalam parti kerana itu dilarang oleh Islam.
“Ada ahli yang mula menyebut tentang pengorbanan dan kesusahan mereka dalam PAS di masa lampau.Mungkin mereka sudah dapat balasan dunia.
“Sebagai pejuang Islam tidak perlu kita mengungkiti pengorbanan dan kesusahan kita dalam PAS. Jika kita ikhlas, pahala itu berterusan sehingga akhirat,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat dalam Facebook beliau hari ini menyiarkan coretan veteran PAS Johor, Ishak Salleh yang membangunkan Dewan Pemuda PAS Pontian dan Pemuda PAS Johor.
Ishak dalam penulisan itu mendakwa ramai golongan muda PAS waktu ini mahu bebas dari rakan tahaluff Pakatan Rakyat kerana tidak merasai kesusahan orang lama PAS membangunkan parti itu.
Menurutnya, golongan muda PAS terbabit menyertai parti sewaktu PAS sudah kuat kerana pandai bertahaluff, mempunyai kerajaan negeri dan ada ramai wakil rakyat.
“Mereka tidak membesar dalam PAS, ketika PAS bersendirian, ketika PAS bermusuh dengan semua orang.
“Saya `recall’ semula memori ketika menubuhkan PAS di Pontian. Orang Cina benci PAS kerana dituduh ultra Melayu. Orang Melayu meluat pada PAS kerana dituduh mengkafirkan orang Melayu,” kata Ishak. – mynewshub.cc

