AHMAD Syukran Aizat berharap dapat merencana strategi yang lebih baik bersama pasukan PETRONAS Yamaha CKJ bagi menyekat penguasaan Tengku Amirul Haffirudin pada perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, 1 dan 2 Mei ini.
Tanpa kehadiran rakan sepasukan, Mohd Azam Omar dan Izrul Huzaimie Amran di barisan depan, Syukran akui agak sukar untuk menghalang pencabar khususnya duo pasukan Motul Yamaha YY Pang, Tengku Amirul dan Mohd Izzat Zaidi Salehan yang jelas menguasai saingan sepanjang dua perlumbaan lepas.
Saingan pusingan kedua di Batu Kawan menyaksikan Syukran beraksi bersendirian setelah Azam terpaksa menarik diri dari perlumbaan akibat kecederaan bahu manakala Huzaimie mengalami masalah jentera.
Pelumba kelahiran Terengganu itu kini menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 26 mata, 24 mata di belakang Tengku Amirul manakala rakan sepasukan Izzat di kedudukan kedua dengan 29 mata.
“Pelumba YY Pang sentiasa sentiasa berada berdekatan dan memberi kelebihan kepada mereka. Lihat sahaja pada dua perlumbaan lepas, selain kelebihan jentera, Tengku Amirul turut dibantu oleh Izzat yang berada di belakang untuk menyekat pelumba-pelumba lain,” jelas Syukran.
“Sudah tentu kami memerlukan strategi berpasukan yang lebih baik untuk merapatkan jurang dengan mereka. Pasti lebih mudah jika mempunyai rakan sepasukan bersama-sama di hadapan berbanding secara individu, jadi kami perlu melakukan sesuatu sebelum mereka semakin menjarakkan diri selepas beberapa pusingan akan datang. Kami perlu menyekat gandingan mereka dari terus menguasai perlumbaan,” jelasnya lagi.
Bercakap tentang sasaran pada perlumbaan minggu ini, Syukran yakin untuk sekali lagi menamatkan 15 pusingan perlumbaan di atas podium.
“Saya rasa tidak mustahil untuk sekali lagi bersaing merebut podium seperti perlumbaan lepas dan mengutip mata maksimum. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan memandangkan perlumbaan minggu ini berlangsung di litar baru. Litar ini mengandungi banyak laluan lurus jadi faktor kelajuan dan ketahanan enjin memainkan peranan penting. Mudah-mudahan jurrutera pasukan juga dapat menyediakan jentera yang cukup kompetitif.” – MYNEWSHUB.cc

