KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan menambah bilangan doktor keluarga, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata kini terdapat antara 6,000 dan 8,000 pakar dalam pelbagai bidang perubatan di negara ini, namun hanya 500 orang merupakan doktor keluarga.
“Dan daripada 500 ini, 300 orang berkhidmat di sektor awam sementara 200 lagi di sektor swasta,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) di sini, Sabtu.
Beliau berkata jumlah doktor keluarga akan ditambah menerusi latihan dan peperiksaan hasil kerjasama antara kerajaan dan AFPM.
Presiden AFPM, Prof Datuk Dr D. M. Thuraiappah berkata menerusi MoU itu, pihaknya akan menawarkan pendidikan lanjutan kepada doktor keluarga dan pengamal perubatan am. – BERNAMA

