JOHOR BAHRU – Kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 8.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Bandar Baru Uda di sini mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk sejauh hampir 10 kilometer.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi tadi, treler itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas merempuh papan tanda jalan sehingga tumbang sebelum terbalik.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Khamsani Abd Rahman, berkata kemalangan menyebabkan hanya kenderaan kecil sahaja boleh menggunakan laluan itu dan dijangkakan kesesakan akan menjadi lebih teruk.
Katanya, lalu lintas daripada Skudai menuju ke pusat bandar juga terpaksa ditutup dan dialihkan ke laluan alternatif menerusi Bandar Baru Uda.
“Pihak bomba sudah dimaklumkan untuk bantuan tindakan dan kerja membersihkan lokasi kejadian serta mengalihkan kenderaan sedang giat dijalankan,” katanya. – BH Online

